Carsome Academy, Sunway University perkukuh kemahiran insaniah untuk tingkatkan kualiti pelajar TVET | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carsome Academy, Sunway University perkukuh kemahiran insaniah untuk tingkatkan kualiti pelajar TVET

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Carsome Academy akan bekerjasama dengan Sunway University untuk membangunkan modul kemahiran insaniah untuk institusi latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). 

 

Pengasas Bersama Carsome dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Jiun Ee Teoh berkata, buat julung kalinya sebuah institusi automotif dan Sunway University bekerjasama dalam membina kurikulum atas talian untuk memberi manfaat kepada pelajar yang mengikuti kursus SKM.

 

Katanya, ia melengkapkan pelajar dengan kedua-dua kemahiran insaniah dan teknikal yang akan meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET Carsome Academy.

 

"Selain itu, ia juga meningkatkan peluang mereka untuk berjaya mendapat peluang penempatan kerja di industri. Akhirnya, mereka akan menjadi rakyat Malaysia yang memberi kesan yang produktif dalam ekonomi. 

 

"Sejak penubuhan Carsome Academy, kami sentiasa berusaha ke arah memperkenalkan pendekatan pengajaran baharu yang inovatif untuk memastikan pelajar kami bersedia dalam industri. Pendekatan kami adalah sentiasa mengutamakan pada DNA industri automotif dan fokus utama kami adalah pelajar," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Jiun, secara realitinya kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi untuk para pelajar mendapat tempat di industri. 

 

Katanya, mereka perlu bekerja bersama dengan orang lain dalam satu pasukan untuk menyelesaikan masalah, membangunkan perkhidmatan baharu dan mencapai matlamat organisasi. 

 

 

carsome
Prof Sibrandes Poppema (kiri) dan Jiun Ee Teoh 

 

 

"Kurikulum dalam talian yang direka khas ini akan membantu mereka memperoleh pelbagai kemahiran profesional untuk berjaya dalam kerjaya mereka. Di samping itu, kami mengambil berat seruan kerajaan untuk meningkatkan nilai graduan TVET di Malaysia," katanya.

 

Presiden Sunway University, Prof Sibrandes Poppema pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Carsome Academy untuk membangunkan modul kemahiran insaniah untuk pelajar mereka dan TVET sebagai sebahagian daripada laluan pendidikan holistik untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar.

 

Baru-baru ini, Carsome Academy bersama Kerajaan Selangor mengumumkan biasiswa kepada 30 pelajar yang berjaya diterima masuk ke institusi tersebut. 

 

Biasiswa TVET Selangor untuk pelajar akademi tersebut ditawarkan kepada belia Malaysia berumur antara 18 hingga 40 tahun yang dilahirkan di Selangor dan juga terbuka kepada penduduk yang menetap di negeri itu sejak lima tahun lalu. 

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Biasiswa TVET Selangor untuk pelajar Carsome Academy 2023, sila layari https://carsomeacademy.my/scholarship_2023/. - DagangNews.com