Carl Bek-Nielsen dilantik Pengerusi MPOC baharu, mulai 1 Mei 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carl Bek-Nielsen dilantik Pengerusi MPOC baharu, mulai 1 Mei 2023

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 23 Mac - Naib Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Bhd, Datuk Carl Bek-Nielsen dilantik sebagai Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang baharu berkuat kuasa 1 Mei 2023. 

 

MPOC dalam satu kenyataan berkata, Carl pernah berkhidmat di Lembaga MPOC mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak sawit Malaysia dan mahir dengan cabaran serta isu dihadapi oleh pihak industri.

 

Menerusi peranan baharu sebagai Pengerusi MPOC, beliau akan terus menumpukan perhatian kepada kelestarian dan penambahbaikan sosial dalam sektor minyak sawit Malaysia.

 

Beliau juga akan memastikan pintu perdagangan kekal terbuka untuk komoditi pertanian terbesar di dunia memandangkan industri bergerak sejajar matlamatnya untuk mengeluarkan minyak sawit yang lestari.

 

Carl merupakan Ahli Majlis Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) sejak 2005, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Majlis MPOC dari 2005 hingga 2020 dan pernah berada dalam Jawatankuasa Penasihat Program kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dari 2008 hingga 2019.

 

Pada 2014, beliau dilantik ke Lembaga Gabenor Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) sebagai Pengerusi Bersama, mewakili MPOA dan terus berkhidmat sebagai Pengerusi Bersama selama sembilan tahun sehingga awal tahun ini apabila beliau memutuskan untuk tidak bertanding semula.

 

Beliau juga dilantik sebagai Konsul Jeneral Kehormat Denmark bagi Putrajaya dan Kuala Lumpur, serta Konsul Kehormat Denmark ke Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.

 

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, pihaknya yakin kepimpinan dan komitmen yang tidak berbelah daripada Carl terhadap kelestarian dan kemajuan sosial dalam perdagangan minyak sawit.

 

Tambahnya, komitmen diberikan Carl itu diyakini akan membantu akan membantu memastikan prospek perdagangan global industri kekal terbuka dan amalan lestari diteruskan untuk berada di barisan hadapan bagi mencapai matlamat sektor itu.

 

“Kami gembira untuk bekerjasama dengan Carl dalam menghadapi serta menangani cabaran dan isu yang dihadapi industri dan kami yakin MPOC dapat menjayakan pelbagai usaha di bawah kepimpinan beliau,” katanya. - DagangNews.com