Capital A umum perubahan kepimpinan, tingkatkan portfolio perniagaan digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A umum perubahan kepimpinan, tingkatkan portfolio perniagaan digital

Colin Currie
oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Capital A Bhd membuat perubahan kepada kepimpinannya sekali gus meningkatkan portfolio perniagaan digitalnya, termasuk platform perjalanan serta gaya hidup airasia Super App dan portfolio fintech BigPay.

Perubahan itu, menyaksikan Presiden Komersialnya, Colin Currie akan turut menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) airasia Digital.

Sementara itu, Ketua Pelaburan Capital, John Cheing dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) airasia Digital dan airasia Super App berkuat kuasa pada 1 Mac 2023.

CEO Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata, 
Currie dan Cheing akan bekerjasama rapat dengan beliau untuk menskala naik portfolio perniagaan digital kumpuln itu.

"Saya yakin terhadap Currie untuk memegang peranan CEO airasia Digital berikutan pengalaman beliau menerajui Adidas berjaya mencatatkan pertumbuhan memecah rekod di pasaran serantau yang diuruskannya.

"Beliau akan mengetuai sebuah pasukan berdaya saing, membina sinergi lebih kukuh dan menyediakan pengalaman pengguna lebih baik dalam perjalanan serta pembayaran dengan membentuk kerjasama lebih erat antara airasia Super App dan BigPay untuk pengguna dalam ekosistem Capital A," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pengalaman Cheing sebagai Ketua Pelaburan Capital A dan pembabitan rapatnya, khusus dalam perancangan strategik airasia Super App juga dapat menyumbang kepada peranan baharunya sebagai CFO airasia Digital. 

airasia Super App adalah plaform perjalanan, e-dagang dan fintech sehenti Capital A yang menawarkan kira-kira 15 produk dan perkhidmatan menerusi Super App selain laman web airasia.com.

BigPay adalah kumpulan fintech Asia Tenggara yang ditubuhkan pada 2017. - DagangNews.com