KUALA LUMPUR 10 Mac - Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik, Cape EMS Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dibuka pada RM1.42 sen, premium 52 sen atau 57.8% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 90 sen.
Setakat 9.30 pagi, kaunter itu meningkat 47 sen atau 52.22% pada RM1.37 sen sesaham di belakang 161.69 juta saham bertukar tangan.
Cape EMS, yang juga terlibat dalam pembuatan cetakan aluminium dan pembekalan produk elektronik, telah memperoleh RM155.7 juta hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) ketika ia berusaha untuk mengembangkan operasinya melalui pembinaan kemudahan baharu.
Cape EMS berkata, sebahagian besar daripada hasil itu akan disalurkan kepada penyediaan kemudahan bilik bersih baharu dan pembelian barisan pengeluaran automatik baharu untuk operasi EMS, serta pembinaan gudang Senai 226 baharu dan pemasangan kemudahan penyimpanan automatik.
"Hasil selebihnya akan digunakan untuk modal kerja, pembelian mesin, pemasangan sistem penyejukan penjimatan tenaga dan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 923 juta dan harga IPO sebanyak 90 sen sesaham, saham itu disenaraikan dengan permodalan pasaran RM830.7 juta.
IPO kumpulan itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 173 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 86.7 juta saham sedia ada.
Daripada jumlah ini, 205.5 juta saham ditawarkan di bawah tawaran institusi dan 54.2 juta di bawah tawaran awam.
Pengarah Urusan Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cape EMS, Tee Kim Chin berkata, sejak 10 tahun lalu, pengurusan Cape EMS bekerja tanpa henti untuk mengembangkan syarikat menjadi seperti sekarang.
Beliau berkata, melangkah ke hadapan, pihaknya akan terus membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi.
"Dengan kapasiti pengeluaran tambahan yang kami ingin beli menggunakan hasil IPO kami, kami percaya bahawa kami berada di landasan betul untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik dalam memenuhi jangkaan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan EMS, didorong unjuran pertumbuhan global pasaran semikonduktor dan elektronik.
"Penyenaraian ini datang pada masa sesuai, kerana kami berhasrat untuk memanfaatkan status penyenaraian untuk memacu lagi trajektori pertumbuhan kami pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com








