Canon rai ulang tahun ke-35 di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Canon rai ulang tahun ke-35 di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Mei - Canon Marketing Malaysia (Canon) meraikan ulang tahun ke-35 di Malaysia dengan memperbaharui komitmen terhadap transformasi perniagaan dan usahanya mengekalkan ketahanan korporat dalam tahun-tahun akan datang.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shunji Yoshikai berkata, sempena ulang tahun ke-35 Canon, syarikat tersebut berazam untuk terus menggembirakan para pelanggan serta memupuk corak pemikiran pembangunan mampan di seluruh syarikat, mencapai keimbangan antara perniagaan dan alam sekitar.

 

Beliau berkata, Canon berbangga dengan usaha memastikan kesihatan dan kesejahteraan para pekerja dan meneruskan inisiatif syarikat, 'Red Hot Passion' untuk menanamkan minat dengan membimbing kakitangan ke arah gaya hidup yang lebih positif, sihat dan optimis. 

 

Jelasnya, kempen 'Big Smile with Canon' direka khas untuk memotivasi dan mewujudkan persekitaran pejabat yang mesra dengan menggalakkan kakitangan agar senyum selalu.

 

"Senyum boleh memperbaiki mood seseorang dan membantu mewujudkan persekitaran yang menyenangkan, seterusnya memacu motivasi dan produktiviti. Selain itu, memandangkan perniagaan utama kami adalah untuk kamera, kakitangan Canon seharusnya dapat mengukir senyuman dengan mudah.

 

"Fokus kami sejak sekian lama adalah kepuasan para pelanggan kerana kami menganggap mereka semua sebagai duta jenama kami. Bersesuaian dengan slogan 'Delighting You Always', kami ingin terus menggembirakan para pelanggan dengan rangkaian penyelesaian, produk dan perkhidmatan yang inovatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Melihat kembali 35 tahun yang telah berlalu, Yoshikai mendedikasikan kejayaan syarikat tersebut kepada para pelanggan dan rakan kongsi perniagaannya yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan korporatnya.

 

"Kami amat menghargai sokongan yang konsisten dari para pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pembekal sepanjang 35 tahun ini. Canon tidak akan dapat berkembang ke tahap ini tanpa hubungan kukuh yang telah kami bina bersama pihak-pihak berkepentingan," katanya.

 

Sejak 35 tahun lalu, Canon telah berkembang pesat dan muncul sebagai pesaing utama dalam segmen pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pelanggan (B2C). 

 

Dengan menawarkan pelbagai rangkaian produk-produk inovatif, syarikat tersebut telah menjadi sebuah syarikat yang berupaya membuat penyesuaian dari segi teknologi, mengutamakan dan bertindak balas terhadap perubahan keperluan dan pilihan para pelanggannya.

 

Hari ini, Canon telah menjadi salah satu jenama global yang paling dikenali dan jenama pilihan pelbagai segmen pengguna dari pengguna baharu hinggalah golongan profesional.

 

Canon telah menerima pelbagai pengiktirafan dalam industri atas komitmennya terhadap kecemerlangan.

 

Ini termasuklah pengiktirafan dari firma penyelidikan pasaran global IDC pada tahun 2021 sebagai jenama Pencetak Inkjet No. 1 selama 26 tahun berturut-turut dan jenama Pencetak Laser No. 1 selama 7 tahun berturut-turut di Malaysia. - DagangNews.com