Canon kekal di tangga teratas segmen pencetak kali ke-27 berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Canon kekal di tangga teratas segmen pencetak kali ke-27 berturut-turut

Sandy Lee
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Meskipun mengharungi pergelutan ekonomi global tahun lepas, Canon Marketing Malaysia masih mendahului pesaing-pesaingnya dalam industri mesin pencetak serta meneraju pasaran negara. 

 

Canon dalam kenyataan berkata, mereka sekali lagi diiktiraf oleh firma penyelidikan pasaran IDC dalam Worldwide Quarterly Hardcopy Peripherals Tracker, 2022 Suku ke-4, sebagai peneraju industri dalam pasaran mesin pencetak yang berdaya saing.

 

"Menurut IDC, Canon kekal berada di tangga teratas dalam bahagian pasaran segmen Inkjet Printer buat kali ke-27 berturut-turut sejak tahun 1996. Tambahan pula, sudah 8 tahun berturut-turut Canon mendahului segmen Laser Printer sebagai jenama terbaik sejak  2015.

 

"Pencapaian yang menakjubkan ini diperoleh ketika ekonomi global berada pada tahap yang tidak menentu memberi impak terhadap segelintir sektor perniagaan dan sebaik sahaja ekonomi negara mulai pulih daripada kesan wabak itu," katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Produk Sistem Pengguna Canon Marketing Malaysia, Sandy Lee berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi posisi syarikat yang mendahului pasaran mesin pencetak walaupun berlakunya pergelutan ekonomi. 

 

“Ia merupakan satu penghormatan yang besar buat kami yang melakar kejayaan sebagai jenama mesin pencetak No.1 di Malaysia sejak 2007 dan kekal menjadi produk pilihan utama pelanggan serta mendominasi pasaran dalam industri percetakan," katanya.

 

Menurut Lee, pengiktirafan tersebut juga menunjukkan bahawa pengguna Canon berasa yakin menggunakan produk ini kerana reputasi yang baik dan boleh dipercayai. 

 

“Dengan memperoleh keyakinan dalam kalangan pelanggan, kami menjangkakan pertumbuhan lebih baik dalam pasaran Malaysia yang kian berkembang,” tambah Lee lagi.

 

Selain itu, Lee turut menyatakan penghargaannya kepada komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan serta rakan kongsi perniagaan syarikat ini yang menjadi pemacu ke arah kecemerlangan Canon. 

 

Menurutnya lagi, Canon amat berbesar hati kerana kekal sebagai pilihan nombor satu untuk mesin pencetak inkjet dan laser di negara ini, yang membuktikan kualiti produk dihasilkan serta sokongan perkhidmatan selepas jualan secara besar-besaran yang baik. - DagangNews.com