Cahya Mata Sarawak optimis raih lebih banyak kontrak pembangunan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cahya Mata Sarawak optimis raih lebih banyak kontrak pembangunan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Cahya Mata Sarawak Bhd optimis akan meraih beberapa kontrak membabitkan  kerja-kerja pembangunan di Sarawak.

 

Syarikat itu berkata, ia mampu mendapat manfaat daripada ekonomi kukuh di Sarawak memandangkan aktiviti pembangunan infrastruktur dan luar bandar terus aktif.

 

Walaupun terdapat peningkatan harga logistik dan bahan mentah pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), syarikat itu berjaya meningkatkan prestasi operasi bagi tahun tersebut menerusi pengurusan operasi yang lebih baik dan pemasaran berkesan.

 

Keuntungan bersih syarikat meningkat 28% pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) kepada RM32.11 juta, manakala pendapatan syarikat meningkat 27% kepada RM306.8 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

“Peningkatan pendapatan terutamanya disebabkan oleh bahagian simen dan sumbangan baharu daripada bahagian perkakas minyak.

 

"Sementara itu, peningkatan ketara dalam keuntungan bersih adalah berikutan pelupusan syarikat bersekutu pada nilai RM89.02 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Cahya Mata

 

 

Lembaga Pengarah Cahya Mata Sarawak telah mencadangkan dividen dikecualikan cukai pertama dan terakhir sebanyak 3 sen sesaham, di mana kelayakan dan tarikh pembayaran akan diumumkan kemudian.

 

Sementara itu, keuntungan bersih untuk FY22 meningkat sebanyak 46% kepada RM298.06 juta daripada RM204.22 juta pada FY21.

 

Syarikat tersebut juga melaporkan peningkatan pendapatan FY22 sebanyak 24% kepada RM1.01 bilion berbanding RM814.55 juta pada tahun sebelumnya berikutan peningkatan sumbangan daripada bahagian simen dan penyelenggaraan jalan.

 

Mengulas lanjut segmen perniagaannya, bahagian simen dilaporkan sebagai penyumbang terbesar dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 30% atau RM80.22 juta, terutamanya disebabkan peningkatan dalam jualan.

 

Sementara itu, bahagian penyelenggaraan jalan merekodkan peningkatan PBT sebanyak 78% kepada RM17.11 juta, terutamanya akibat peningkatan margin keuntungan kasar.

 

PBT bahagian dagangan sebaliknya menyusut 61% kepada RM2.36 juta berbanding RM6.11 juta pada tahun sebelumnya, didorong pembukaan ekonomi yang membantu meningkatkan permintaan terhadap hartanah.

 

Tambahnya, bagi bahagian pembangunan hartanah, PBT meningkat sedikit daripada RM33.17 juta pada FY22 berbanding RM32.43 pada tahun sebelumnya berikutan pengiktirafan keuntungan daripada jualan tanah berjumlah RM12.4 juta. -DagangNews.com