KUALA LUMPUR 7 Sept - Pembelian Hotel Stripes Kuala Lumpur memberikan YTL Hospitality Real Estate Investment Trust (YTL Hospitality REIT) dijangka memberikannya pendapatan sewa berulang yang stabil dan risiko penghunian minimum memandangkan pengambilalihannya dijamin dengan perjanjian pajakan induk, menurut AmInvestment Bank Research.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, AmInvestment berkata ia positif dengan pembelian hartanah berkenaan, yang akan menghasilkan peningkatan pengagihan seunit (DPU).
Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata anggaran hasil hartanah Hotel Stripes Kuala Lumpur sebanyak 6.6% adalah menarik jika dibandingkan dengan purata hasil hartanah 6.1% untuk aset-aset YTL Hospitality REIT di Malaysia.
Setelah pengambilalihan tersebut selesai, YTL REIT akan memajakkan harta itu kepada Hotel 25 di bawah perjanjian pajakan induk untuk tempoh awal selama 15 tahun, bermula dari tarikh pengambilalihan selesai, dengan pilihan diberikan kepada Hotel 25 untuk memperbaharui pajakan selama 15 tahun tambahan.
BACA JUGA: YTL Hospitality REIT beli Hotel Stripes di Chow Kit berharga RM138 juta
“Bayaran sewa tahunan ditetapkan pada RM9.7 juta untuk lima tahun pertama dengan peruntukan tambahan sebanyak 5% setiap lima tahun.
“Dengan menggunakan purata margin hartanah bersih bagi aset Malaysia (95%) dan kos pembiayaan 4.9% berdasarkan purata kadar faedah semasa pinjaman Malaysia REIT, kami menganggarkan Hotel Stripes Kuala Lumpur akan menyumbang RM2.4 juta kepada pendapatan boleh agih YTL Hospitality REIT pada asas setahun penuh,” katanya.
Oleh itu, AmInvesment meningkatkan unjuran pendapatan boleh agih YTL Hospitality REIT bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan 2026 (FY25/FY26) sebanyak 2% selepas mengambil kira sumbangan daripada Hotel Stripes Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, kami menurunkan pendapatan boleh agih FY24 sebanyak 0.1% kerana peningkatan hasil akan diimbangi oleh pengiktirafan pembayaran pengambilalihan sekali sahaja, yang berjumlah RM1.4 juta (1% daripada nilai hartanah RM138 juta),” tambahnya.
Menurut firma itu, setelah pengambilalihan selesai, nisbah hutang-kepada-aset YTL Hospitality REIT pada FY24 akan meningkat kepada 0.43 kali daripada 0.42 kali.
Memandangkan hartanah itu agak muda dengan hanya berusia enam tahun, firma itu berpendapat bahawa YTL Hospitality REIT tidak mungkin menanggung perbelanjaan modal yang besar dalam tempoh terdekat.
AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) dinaikkan kepada RM1.11 seunit daripada RM1.10 sebelum ini, mengambil kira sumbangan Hotel Stripes Kuala Lumpur.
Saham YTL Hospitality REIT menokok 1 sen atau 1% kepada RM1.02 setakat pukul 10:56 pagi ini, dengan permodalan pasaran bernilai RM1.7 bilion. - DagangNews.com








