Cadangan pengambilalihan ekuiti EPE Switchgear dijangka melengkapi perniagaan Pekat, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan pengambilalihan ekuiti EPE Switchgear dijangka melengkapi perniagaan Pekat, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Cadangan Pekat Group Bhd untuk mengambil alih pegangan ekuiti dalam EPE Switchgear Sdn Bhd dilihat akan melengkapi perniagaan kumpulan itu.

 

MIDF Research berkata, produk keluaran EPE termasuk suis dan transformer pengedaran, adalah komponen penting dalam sistem solar fotovoltaik (PV) yang digunakan dalam operasi Pekat.

 

Katanya, pengambilalihan itu dijangka meletakkan kumpulan itu di landasan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan jangka panjang dengan permintaan dipacu oleh industri tenaga solar yang semakin berkembang. 

 

"Perkembangan itu akan disokong oleh dasar kerajaan dan pelaburan besar dalam projek peralihan tenaga, terutamanya peningkatan infrastruktur grid.

 

"Pertimbangan akan ditentukan kemudian sementara menunggu rundingan dan usaha wajar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pekat dalam rundingan ambil alih pegangan ekuiti dalam EPE Switchgear

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pekat sedang mempertimbangkan untuk menceburi bidang penyediaan rumusan solar PV untuk pusat data.

 

Katanya, walaupun ia tidak terlibat secara langsung sebelum ini, pengurusan kumpulan sudah biasa dengan projek pusat data, setelah mengusahakan rumusan perlindungan kilat untuk pelbagai pusat data.

 

"Pada masa ini, Pekat sedang membina sistem sedemikian untuk kemudahan oleh Yondr dan AirTrunk. Pengurusan melihat prospek yang menjanjikan dalam sektor ini, disokong oleh peningkatan bilangan pusat data yang ditubuhkan," katanya.

 

Sementara itu, MIDF Research mengunjurkan untung bersih kumpulan itu pada FY24 adalah sebanyak RM17.1 juta didorong pendapatan sebanyak RM234.4 juta yang sebahagian besarnya disumbangkan pekerjaan tenaga solar atas bumbung komersial dan perindustrian dan kediaman.

 

Firma penyelidikan itu juga menyemak semula anggaran pendapatan FY25 lebih tinggi sebanyak 6% kepada RM22.5 juta berdasarkan pandangan pengurusan yang lebih optimis mengenai solar atas bumbung.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 88 sen sesaham," katanya - DagangNews.com