KUALA LUMPUR 20 Julai - CGS-CIMB Research percaya pelupusan rangkaian farmasi, Caring Pharmacy Group Bhd. seperti yang dilaporkan baru-baru ini akan memberi kelebihan kepada 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd.
Jika cadangan itu direalisikan ia membolehkan 7-Eleven memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaan kedai serbaneka dan memperkukuhkan lagi profil kewangannya.
Firma itu menjangkakan pelupusan ini akan meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24 sebanyak 33 hingga 36%.
"Unjuran ini mengambil kira hasil tunai yang diterimanya sebanyak RM1.3 bilion, mengurangkan hutang sepenuhnya (penjimatan kos faedah sebanyak RM43 juta setahun) dan pendapatan faedah sebanyak RM17 juta setahun.
"Sekiranya diselesaikan pada suku keempat 2022, ia akan mengambil kira dalam sumbangan untung bersih Caring Pharmacy bagi FY23/FY24 sebanyak RM30.7 juta/RM32 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : 7-Eleven mempertimbang untuk menjual Caring Pharmacy
Semalam, Bloomberg melaporkan, pengendali kedai serbaneka itu sedang mempertimbangkan untuk
menjual rangkaian farmasinya, menurut orang yang mengetahui perkara itu.
Syarikat yang disenaraikan di Kuala Lumpur itu kini bekerjasama dengan penasihat mengenai potensi pelupusan Caring Pharmacy, yang menarik minat beberapa pihak Jepun.
Syarikat itu boleh mendapatkan penilaian untuk peruncit kira-kira AS$400 juta (RM1.8 bilion) dalam satu perjanjian, kata salah seorang daripada mereka, yang meminta untuk tidak dikenali kerana proses itu adalah persendirian.
Menurut CGS-CIMB, Caring Pharmacys sebelum ini pernah disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia sebelum dinyahsenarai pada 8 Mei 2020 selepas diambil alih oleh 7-Eleven.
Sejak itu, katanya, jumlah cawangannya meningkat daripada 130 kepada 199 cawangan setakat 31 Mac 2022 secara organik dan pengambilalihan 67% dalam The Pill House Pharmacy (Georgetown Pharmacy) dan 60% pegangan dalam Wellings Pharmacy pada suku kedua 2021.
"Setakat 31 Mac 2021, program kesetiaan pelanggan Caring Pharmacy mempunyai lebih daripada 1 juta ahli yang sah dan 531,000 pengguna aplikasi mudah alih yang merupakan bukti asas pelanggan dan skala operasinya yang kukuh," katanya.
Bagaimanapun, mengambil kira semua faktor ini, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap 7-Eleven dengan harga sasaran pada RM1.48 sesaham. - DagangNews.com








