KUALA LUMPUR 10 Mei - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap SCGM Bhd. dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM2.53 daripada RM2.38 sebelum ini berikutan langkah kumpulan melupuskan seluruh kepentingan ekuitinya dalam Lee Soon Seng Plastic Industries (LSSPI).
Semalam, syarikat penyelesaian pembungkusan plastik itu memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) bersyarat dengan syarikat Jepun Mitsui and Co dan FP Corporation (FPCO) untuk menjual 106.47 juta saham yang dipegang dalam LSSPI dengan nilai RM544.38 juta.
Cadangan penjualan itu melibatkan Mitsui membeli 60% daripada kepentingan ekuiti dengan nilai RM326.63 juta tunai dan FPCO membeli baki 40% daripada LSSPI dengan nilai RM217.75 juta.
Menurut Kenanga Research, pelupusan kepentingan itu membolehkan SCGM membuka nilai terhadap pelaburannya dalam LSSPI dan memberi ganjaran kepada pemegang saham sedia ada atas sokongan mereka terhadap kumpulan.
"Selepas pelupusan ini, SCGM yang dijangka diklasifikasikan sebagai 'syarikat tunai' berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraiannya di samping mencari peluang untuk mengambil alih perniagaan atau aset baharu.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran hasil buat masa ini, sementara menantikan urus niaga ini diselesaikan," katanya dalam nota kajian hari ini.
LSSPI merupakan satu-satunya anak syarikat dan mewakili seluruh perniagaan teras kumpulan dan selepas selesai penjualan yang dicadangkan itu, SCGM tidak akan mempunyai sebarang perniagaan teras, anak syarikat atau syarikat bersekutu.
Daripada hasil sebanyak RM544.38 juta itu, SCGM memperuntukkan RM425.56 juta untuk cadangan pengagihan kepada pemegang saham yang layak dalam tempoh 9 bulan dan RM18.8 juta untuk pemindahan hartanah serta-merta selepas selesai cadangan penjualan itu kepada pembeli.
Sebanyak RM84 juta lagi akan diperuntukkan untuk pembelian perniagaan atau aset baharu yang akan dikenal pasti atau modal kerja dalam tempoh 24 bulan dan baki sebanyak RM16 juta untuk membiayai anggaran perbelanjaan untuk langkah tersebut.
Kenanga Research berkata, pertimbangan pelupusan itu (menggunakan metodologi nilai perusahaan) adalah melebihi had pasaran sasaran awal firma itu sebanyak RM450.7 juta (yang diperoleh daripada TP sebelum ini pada RM2.34 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 13x).
"Dengan mengambil kira jualan premium, yang menawarkan peluang keluar pada masa yang tepat untuk para pemegang sahamnya, perjanjian itu mungkin akan berjaya," jelasnya.
Setakat 9.15 pagi ini, harga saham SCGM susut 8 sen atau 3.36% kepada RM2.30 dengan 3.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








