Bursa Malaysia tambah baik Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama bagi memudahkan penawaran REIT, ETF dengan ciri wakaf | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia tambah baik Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama bagi memudahkan penawaran REIT, ETF dengan ciri wakaf

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Bursa Malaysia Securities Berhad menambah baik Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama bagi memudahkan penawaran amanah pelaburan hartanah (REIT) tersenarai dan dana dagangan bursa (ETF) dengan ciri wakaf (pindaan wakaf) yang akan berkuat kuasa pada 3 April 2023.

 

Mengikut pindaan wakaf, Bursa Malaysia telah menambah baik rangka kerja pendedahan REIT dan ETF Islam pasca penyenaraian untuk memberikan ketelusan mengenai pengaturan wakaf.

 

"Antara lain, REIT atau ETF Islam mesti segera mengumumkan sebarang perubahan kepada pengaturan wakaf yang dimaklumkan sebelum ini dalam prospektus, kertas maklumat dan helaian keterangan produk, berserta sebab-sebab perubahan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bursa Malaysia menambah bahawa REIT atau ETF Islam juga mesti menyediakan kemas kini interim mengenai pengagihan pendapatan yang disalurkan untuk tujuan wakaf dalam laporan suku tahunan REIT Islam atau laporan separuh tahun ETF Islam.

 

"REIT atau ETF Islam juga mesti mendedahkan cara pelabur boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penerima wakaf dan kemajuan inisiatif wakaf dalam laporan tahunan," katanya.

 

Pindaan wakaf yang melengkapkan garis panduan produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam (garis panduan ICMPS) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 28 November 2022, adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mengembangkan rangka kerja dana bercirikan wakaf (Rangka Kerja WQ-FF) kepada dana Islam tersenarai seperti REIT dan ETF.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pelabur mempunyai lebih banyak peluang kepada akses rangkaian pelbagai produk tersenarai patuh Syariah dengan pengembangan Rangka Kerja WQ-FF tidak lama lagi .

 

"Bursa Malaysia gembira untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem yang menyediakan instrumen berkesan untuk menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara kita," katanya dalam kenyataan sama.

 

Beliau berkata, penambahbaikan itu juga akan merangsangkan pertumbuhan wakaf dan aset pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab, seterusnya memperkukuh kedudukan bursa ini sebagai pasaran kewangan Islam global yang terkemuka. - DagangNews.com