KUALA LUMPUR 22 Dis - Bursa Malaysia Bhd. dan RAM Holdings Bhd. memeterai perjanjian pemegang saham untuk membangunkan platform pengumpulan dana hutang baharu.
Platform ini akan memudahkan syarikat kecil hingga sederhana tersenarai dan tidak tersenarai memanfaatkan pengumpulan modal di luar pasaran borong tradisional, menawarkan jalan baharu dan lebih fleksibiliti kepada syarikat-syarikat yang ingin mengumpul dana.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, perjanjian itu menandakan pencapaian penting untuk menjadi bursa berbilang aset.
Katanya, kerjasama dengan RAM akan meluaskan saluran pengumpulan dana untuk kedua-dua syarikat awam tersenarai (PLC) dan tidak tersenarai untuk memberi akses yang lebih baik kepada nota pelaburan konvensional dan syariah.
"Pada masa sama, kami juga dapat menyediakan peluang pelaburan pendapatan tetap baharu kepada pelabur runcit dan sofistikated," katanya dalam kenyataan hari ini.
Platform itu menyediakan pengalaman 'seperti bon' yang membolehkan pelabur membuat pelaburan dengan penarafan kredit dan ESG, semudah mereka melabur dalam saham bagi pasaran yang telus dan terkawal, serta memudahkan keputusan membuat pelaburan.
Berdasarkan terma perjanjian itu, usaha sama berkenaan akan dijalankan melalui syarikat baharu (Newco) yang akan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016, di mana Bursa Malaysia akan memegang 51% kepentingan manakala RAM akan memegang baki 49%.
Newco akan mengemukakan permohonan untuk pendaftaran di bawah Garis Panduan Pasaran Diiktiraf (RMO) Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang telah disemak baru-baru ini yang dikeluarkan pada 15 November 2022.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif RAM, Chris Lee berkata, kerjasama itu seterusnya akan mewujudkan saluran penjanaan dana alternatif untuk perniagaan yang kurang diberi tumpuan dalam persekitaran mencabar ini dan belum bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
"Untuk meningkatkan ketelusan dalam ekosistem pembiayaan dan pelaburan berasaskan hutang, RAM akan menyumbang kepakaran kami dalam penarafan kredit, penarafan ESG dan harga pendapatan tetap," katanya. - DagangNews.com








