Bursa Malaysia lancar gerbang 'API' tingkatkan kecekapan pengurusan akaun CDS dengan dagangan masa nyata | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lancar gerbang 'API' tingkatkan kecekapan pengurusan akaun CDS dengan dagangan masa nyata

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Bursa Malaysia Bhd memperkenalkan Aplikasi Pengaturcaraan Antara Muka (API) atau gerbang API bagi membolehkan pengaktifan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang lebih pantas dan dagangan masa nyata untuk pelabur runcit.

 

Katanya, gerbang API akan meningkatkan kecekapan proses pengurusan akaun CDS oleh broker.

 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada cara untuk meanfaatkan teknologi baharu bagi menambah baik pengalaman bagi pemegang akaun CDS, ke arah meningkatkan penyertaan pelabur dalam pasaran ekuiti.

 

Gerbang API itu menyelaraskan perjalanan kemasukan pelabur dengan memendekkan masa pembukaan akaun atau kemas kini dan pengaktifan semula akaun. Menerusi penambahbaikan itu, pelabur boleh berdagang dengan cepat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhammad Umar Swift berkata, inisiatif itu merupakan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan yang menumpukan keperluan pelanggan.

 

Beliau berkata, gerbang itu juga membolehkan broker mendigitalkan proses mereka sebagai sebahagian daripada penambahbaikan proses perniagaan bagi pengalaman pelanggan dan amalan kemampanan untuk mengurangkan jejak karbon.

 

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan broker kami dan memperkenalkan inovasi perkhidmatan untuk menarik lebih ramai pelabur, mengukuhkan daya saing pasaran kami," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.

 

Gerbang API untuk e-perkhidmatan CDS kini beroperasi, dengan lima organisasi yang mengambil bahagian telah didaftarkan sehingga kini ialah AmInvestment Bank Bhd, FSMOne - Bahagian Runcit Dalam Talian iFAST Capital Sdn Bhd, Hong Leong Investment Bank, Malacca Securities dan Moomoo Securities Malaysia.

 

Pengenalan Gerbang API ini melengkapkan pelancaran Hab Pemerolehan Bursa Remisier (Bursa Reach) baru-baru ini, platform pemprofilan pertama Malaysia, yang memudahkan hubungan antara pelabur dan wakil peniaga.

 

"Inisiatif ini akan menunjukkan penggunaan teknologi Bursa Malaysia untuk menyediakan akses mudah kepada peluang pelaburan di pasaran dan untuk memupuk pasaran modal yang lebih menarik," katanya.- DagangNews.com