KUALA LUMPUR 4 Jan - Bursa Malaysia Bhd. dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menandatangani perjanjian untuk berkongsi data makroekonomi bagi mengenal pasti trend utama dan pandangan untuk membangunkan lagi pasaran modal.
DOSM akan berkongsi statistik dan laporan demografi dan makroekonomi dengan Bursa Malaysia, sebagai pertukaran untuk akses kepada pangkalan data kedua yang berkaitan dengan syarikat yang disenaraikan di bursa, termasuk statistik perdagangan.
Di bawah terma perjanjian tersebut, kedua-dua pihak berpeluang menjalankan penerokaan bersama dalam bidang kepentingan bersama ke arah pembangunan pasaran modal.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kerjasama itu akan mewujudkan sinergi yang ketara antara kedua-dua pihak.
"Ini dapat membantu memperkukuhkan lagi landskap pasaran modal, di samping mewujudkan inisiatif baharu untuk meningkatkan penyertaan pelabur dalam pasaran," katanya dalam majlis menandatangani perjanjian antara Bursa Malaysia dan DOSM hari ini.
Beberapa data utama yang akan dikongsi oleh Bursa Malaysia kepada DOSM ialah volum dagangan harian dan bulanan mengikut data sektor, data demografi pelabur agregat dan laporan tahunan syarikat tersenarai awam (PLC).
Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perkongsian data membolehkan DOSM menilai iklim ekonomi, membuat keputusan yang lebih baik untuk mengembangkan perkhidmatannya dan menjadi lebih berdaya saing.
"Data Bursa Malaysia sangat penting kerana ia menyumbang kepada Indeks Pelopor (IP), yang merupakan alat ramalan yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan kemelesetan ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
"Indeks ini diterbitkan setiap bulan dan digunakan secara meluas oleh penganalisis ekonomi untuk membuat ramalan ekonomi masa depan," jelasnya. - DagangNews.com








