Bursa Malaysia catat aliran keluar asing sebanyak RM46.8 juta minggu lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia catat aliran keluar asing sebanyak RM46.8 juta minggu lalu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR  16 Jan - Bursa Malaysia merekodkan aliran keluar bersih asing pada minggu lalu sebanyak RM46.8 juta dengan sektor perkhidmatan dan produk pengguna mencatat aliran keluar paling tinggi sebanyak RM77.9 juta. 

 

Ini diikuti dengan dua lagi sektor iaitu telekomunikasi dan media serta perkhidmatan kewangan masing-masing sebanyak RM26.9 juta dan RM20.6 juta, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research. 

 

Pada minggu berakhir 13 Januari itu, pelabur asing menjual ekuiti setiap Isnin hingga Rabu masing-masing sebanyak RM4.7 juta, RM12 juta dan RM73.3 juta sebelum kembali membeli ekuiti pada Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM2.3 juta dan RM40.98 juta.

 

"Bagaimanapun, setakat minggu kedua ini, pelabur asing merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM25.6 juta.

 

"Tiga sektor yang merekodkan aliran masuk bersih pada minggu lalu ialah perkhidmatan dan produk perindustrian sebanyak RM39.2 juta diikuti teknologi (RM24 juta) dan penjagaan kesihatan (RM17 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan merekodkan pembelian bersih ekuiti sebanyak RM339.4 juta pada minggu lalu dengan aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM119.3 juta manakala paling rendah pada Jumaat sebanyak RM26.7 juta.

 

Setakat ini, pelabur institusi tempatan sudah membeli RM215 juta ekuiti tempatan, lebih tinggi berbanding pelabur asing. 

 

"Momentum berterusan dalam ekonomi domestik dan pengembangan sederhana dalam sektor luaran mungkin telah menarik minat pelabur institusi tempatan," kata firma itu.

 

Sementara itu, pelabur runcit meneruskan rentak penjualan bersih ekuiti setiap hari pada minggu lalu sebanyak RM292.6 juta.

 

Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM121.6 juta manakala paling rendah pada Rabu sebanyak RM24.9 juta.

 

Dalam tempoh dua minggu sepanjang 2023 ini, pelabur runcit telah menjual RM240.5 juta ekuiti tempatan. 

 

Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit, pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing sebanyak 13.7%, 34.6% dan 38.1%. - DagangNews.com