Boustead Heavy Industries umum pelan penyelesaian hutang RM417 juta dengan tiga pemberi pinjaman serta Boustead Holdings | DagangNews Skip to main content

Boustead Heavy Industries umum pelan penyelesaian hutang RM417 juta dengan tiga pemberi pinjaman serta Boustead Holdings

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Dis - Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) mencadangkan untuk melaksanakan penyelesaian hutang separa dengan tiga bank berjumlah RM183.26 juta dan penyelesaian penuh hutang RM234 juta dengan Boustead Holdings Bhd (BHB).

 

Pembayaran akan dibuat pada tarikh akhir 31 Disember 2023 yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, menurut BHIC dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Menurutnya, penyelesaian hutang separa dengan tiga bank iaitu Affin Bank Bhd, MBSB Bank Bhd dan AmBank Islamic Bhd akan dibuat melalui gabungan tunai dan terbitan saham biasa baharu dan saham keutamaan boleh tebus boleh tebus “Kelas A”, kedua-duanya konvensional ( RCPS A) dan Islamic (RCPS-i A), pada harga 57 sen sesaham.

 

Bagi hutang RM234 juta dengan BHB pula akan diselesaikan melalui terbitan saham BHIC baharu, saham keutamaan boleh tukar boleh tebus “Kelas B” (RCPS B) dan saham keutamaan boleh tebus “Kelas C” (RPS C), juga pada 57 sen sesaham.

 

“Tiada hasil tunai akan dikumpul daripada cadangan penyelesaian hutang dengan pemberi pinjaman kerana ia dilaksanakan untuk menyelesaikan sebahagian kemudahan pembiayaan tertunggak pada tarikh akhir yang terhutang oleh BHIC kepada pemberi pinjaman.

 

“Selain itu, tiada hasil akan diperoleh oleh syarikat selepas penukaran RCPS A dan RCPS-i A kepada saham BHIC baharu.

 

“Untuk mengelakkan keraguan, cadangan penyelesaian MBSB dan cadangan penyelesaian AmIslamic, dan pengeluaran RCPS A-i kepada MBSB dan AmIslamic hendaklah dilakukan dengan cara yang mematuhi syariah,” kata BHIC.

 

Sehingga 30 Nov, BHIC mempunyai kemudahan pembiayaan sebanyak RM187.6 juta yang diambil terutamanya untuk tujuan modal kerja.

 

Dana pemegang saham kumpulan berjumlah RM53.5 juta selepas mengambil kira kerugian terkumpulnya sebanyak RM195 juta, berdasarkan keputusan kewangan BHIC yang belum diaudit bagi tempoh berakhir 30 Sept 2023. BHIC juga mencatatkan kedudukan tunai bersih dan setara tunai sebanyak negatif RM16.1 juta.- DagangNews.com