Bonia bakal lancarkan butik khas pakaian pada separuh kedua 2023, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bonia bakal lancarkan butik khas pakaian pada separuh kedua 2023, kata CGS-CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Dis – Bonia Corp. Bhd. akan mengembangkan penawaran rangkaian produknya kepada  segmen sedia dipakai (RTW) dengan pelancaran rasmi butik pakaian dijangka pada separuh kedua 2023.

 

CGS-CIMB Research berkata, pelancaran produk baharu itu secara tidak langsung akan meningkatkan pertumbuhan jualan sebanyak RM15 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24). 

 

Katanya, ia juga akan memacu jualan Bonia yang diunjur terus meningkat sebanyak RM30 juta dan RM60 juta masing-masing bagi FY25 dan FY26.

 

"Kami menganggarkan margin keuntungan kasar bagi produk RTW baharu ini menyamai atau lebih tinggi berbanding produk berasaskan kulit sedia ada. 

 

"Selain itu, kami juga positif dengan perancangan Bonia untuk membuka dua atau tiga butik pada FY23 dengan reka bentuk menarik dan menempatkannya di lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengunjung," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan kepada prospek positif kumpulan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bonia dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3. 

 

Pada suku pertama berakhir 30 September 2022, jualan Bonia meningkat 114% tahun ke tahun dipacu pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) daripada dua jenama terkenalnya, Bonia (meningkat 149.8% tahun tahun ke tahun) dan Braun Buffel (meningkat 201.7% tahun ke tahun). 

 

Jualan SSSG yang kukuh itu juga sebahagiannya disebabkan asas yang rendah pada suku pertama FY22 akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan kedatangan pengunjung dan operasi perniagaan.

 

Firma itu percaya margin keuntungan kasar Bonia akan terus meningkat pada masa akan datang memandangkan ia meningkatkan harga produknya kira-kira 5% pada suku kedua FY23 bagi melepaskan kenaikan beberapa kos input. 

 

Pada suku pertama, ia telah menaikkan harga jualan sebanyak 5%, yang menyaksikan marginnya berkembang 60.4% dan menyasarkan untuk mencapai margin keuntungan kasar sekitar 63 hingga 65% dalam tempoh sederhana. 

 

"Walaupun dengan kenaikan harga, Bonia menjangkakan jualan bagi suku kedua FY23 berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan tahun ke tahun di tengah-tengah tekanan inflasi semasa yang tinggi. 

 

"Ini menunjukkan kuasa harga yang kukuh disokong oleh ekuiti jenama yang mantap, keberkesanan inisiatif pemasaran (perkongsian dengan tempatan utama dan pengaruh antarabangsa) dan pangkalan pelanggan setianya yang meluas," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB menjangkakan Bonia akan terus mendapat manfaat daripada langkah pengembangan dan penempatan semula butik, kenaikan harga jualan purata (ASP) dan pelancaran produk baharu.

 

Setakat 11.15 pagi, harga saham Bonia susut 9 sen atau 3.78% kepada RM2.29 dengan 81,600 saham diniagakan. - DagangNews.com