BEBERAPA minggu lepas, bermulanya gerakan boikot terhadap produk dan perusahaan yang secara terangnya menyatakan sokongan terhadap Israel dan turut menyumbang dana kepada Israel dalam konflik Israel-Palestin yang giat berlanjutan sehingga kini.
Susulan gerakan boikot ini, beberapa kedai dan perusahaan yang terjejas mendakwa berlakunya penurunan drastik dalam hasil jualan mereka, yang seterusnya memberi kesan kepada pekerja-pekerja di cawangan-cawangan mereka.
Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja yang melihat beberapa tindakan majikan sebagai suatu bentuk manipulasi terhadap hak mereka, yang melibatkan pengurangan waktu kerja, potongan gaji, dan pemaksaan untuk mengambil cuti tanpa gaji.
Persoalannya, apakah hak-hak pekerja dalam hal ini?
Dalam konteks pekerja yang menerima gaji bulanan, perlu ditegaskan bahawa majikan tidak memiliki kekuasaan mutlak untuk memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji, kecuali jika pekerja tersebut bersedia dan bersetuju untuk melakukannya.
Di sisi lain, bagi pekerja yang menerima gaji harian, majikan berhak untuk mengarahkan pekerja tersebut untuk mengambil cuti tanpa gaji, dengan syarat pemberitahuan yang mencukupi dan wajar diberikan kepada pekerja tersebut sebelumnya.
Pertimbangan mengenai pengurangan waktu bekerja tergantung kepada jenis gaji yang diterima oleh pekerja. Untuk pekerja yang menerima gaji bulanan atau harian, pengurangan waktu bekerja boleh dilaksanakan tanpa mengakibatkan pengurangan dalam kadar gaji yang diterima oleh pekerja tersebut.
Seterusnya, jika pengurangan gaji dibuat oleh majikan, ia hanya boleh dilakukan dengan persetujuan pekerja.
Selaras dengan peruntukan undang-undang, potongan gaji yang dibenarkan hanya boleh dilakukan seperti apa yang termaktub dalam Seksyen 24(2) Akta Kerja 1955, yang melibatkan pembayaran gaji berlebihan, notis penamatan kontrak kerja yang tidak mencukupi, bayaran balik gaji muka, dan sumbangan wajib seperti KWSP, SOCSO, EIS, dan sebagainya.
Penting untuk diingat bahawa jika potongan gaji dilaksanakan atas sebab-sebab yang berada di luar lingkungan empat kategori tersebut, potongan tersebut adalah dianggap tidak sah dan melanggar undang-undang.
Tambahan pula, adalah tanggungjawab majikan untuk menyediakan pekerjaan yang sesuai dan membayar gaji yang telah disetujui kepada pekerja.
Jika seorang pekerja bersedia untuk bekerja dan menjalankan tanggungjawab kerja mereka, mereka berhak untuk menerima gaji mereka, walaupun majikan tidak memberikan sebarang tugas kepada mereka, seperti mana yang telah diputuskan melalui kes-kes yang dibicarakan di Mahkamah Perusahaan.
Timbul pula persoalan apa yang boleh dilakukan oleh pekerja dalam situasi ini? Pertama, mereka boleh mengemukakan bantahan secara bertulis kepada pihak pengurusan jika mereka tidak bersetuju dengan tindakan potongan gaji atau cuti tanpa gaji. Semakin ramai yang terlibat dalam bantahan ini, semakin baik.
Namun, adalah penting untuk menjalani perbincangan yang baik dengan pihak pengurusan dan merujuk kepada peruntukan dalam Akta Kerja 1955 untuk memberikan penjelasan yang komprehensif.
Selain itu, pekerja juga berhak untuk melantik wakil atau peguam untuk mendampingi mereka dalam proses ini.
Jika pihak pengurusan masih enggan untuk membetulkan keadaan selepas bantahan dibuat dan perbincangan, pekerja-pekerja memiliki pilihan untuk membuat aduan kepada Pejabat Jabatan Tenaga Kerja berhampiran.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyatakan bahawa pihak KSM belum menerima laporan mengenai pemecatan pekerja akibat gerakan boikot terhadap produk berkaitan Israel di Malaysia, seperti yang disahkan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Media baru-baru ini melaporkan kesan boikot tersebut terhadap beberapa individu yang terpaksa dihentikan kerja kerana penurunan pelanggan dalam syarikat mereka.
Pada pendapat penulis, perlunya tindakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam mengambil peranan proaktif untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan hak pekerja yang terkesan oleh gerakan boikot.
Sebagai badan yang bertanggungjawab untuk melindungi hak pekerja, KSM sepatutnya tidak hanya menunggu laporan yang diterima, tetapi juga harus secara aktif mencari maklumat dan berkomunikasi dengan pekerja yang mungkin terlibat dalam situasi ini.
Tindakan ini akan membantu KSM memahami secara lebih mendalam impak isu boikot terhadap pekerja serta memberikan panduan dan sokongan yang sesuai bagi menangani keadaan tersebut.
Dengan melibatkan diri secara aktif, KSM dapat memastikan perlindungan dan pematuhan hak pekerja, dan memberikan keyakinan kepada mereka bahawa pihak kerajaan prihatin dengan kebajikan mereka dalam isu ini. - DagangNews.com
Shahrizal merupakan pengarah projek komuniti ‘Workers Unmuted’ yang berusaha mengetengahkan advokasi dan pendidikan hak pekerja di Malaysia, dan merupakan pelajar tahun 4 Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah di Universiti Sains Islam Malaysia.
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili pandangan Sidang Editorial DagangNews.com