KUALA LUMPUR 16 Ogos - Unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tahun 2024 kekal masing-masing dalam julat 2.0%-3.5% dan 2.0%-3.0%.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, unjuran berkenaan dikekalkan walaupun kesan rasionalisasi subsidi diesel dan petrol RON95 telah diambil kira dalam jangkaan tersebut.
Menurutnya, kesan daripada rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan baru-baru ini kekal terkawal susulan langkah-langkah mitigasi kerajaan walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam inflasi.
"Langkah itu meminimumkan kesan kos kepada perniagaan. Setakat Jun, kesannya agak minimum dan berdasarkan prestasi separuh tahun pertama, inflasi tidak akan melebihi 3.0% tahun ini tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka seperti berlaku kejutan di peringkat tempatan dan luaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 di sini hari ini.
Bagaimanapun seperti dilaporkan Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, rasionalisasi subsidi tidak akan dilaksanakan terhadap petrol RON95 buat masa ini kerana kerajaan mahu memastikan orang ramai memahami sepenuhnya langkah itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguncupan nilai jualan borong dan runcit Jun 2024 mungkin akibat kenaikan harga diesel - TA Securities
Abdul Rasheed pada sidang medianya itu turut menekankan kenaikan dua angka konsisten dalam inflasi kos perubatan yang memerlukan tindakan kolektif oleh pihak berkepentingan.
Beliau berkata inflasi kos perubatan di Malaysia meningkat 12.6% tahun lepas, lebih dua kali ganda daripada purata global sebanyak 5.6% dan 6.2% dicatatkan di Asia Pasifik.
Oleh itu, BNM telah mewajibkan penanggung insurans/pengendali takaful (ITO) untuk menyediakan pilihan pembayaran Bersama untuk produk insurans dan takaful (MHIT) perubatan dan kesihatan.
“Ini sebenarnya untuk memberi pilihan kepada pengguna. BNM mewajibkan mulai September untuk menawarkan produk dengan elemen pembayaran bersama...ia adalah pilihan alternatif,” katanya.
Kata beliau produk pembayaran bersama adalah 19 peratus hingga 68% lebih murah berbanding produk yang serupa tetapi tidak mempunyai ciri tersebut (pembayaran bersama).
Untuk melindungi pengguna, ITO perlu memaklumkan had maksimum pembayaran bersama yang telah mereka tetapkan sebelum pengguna membuat pembelian. - DagangNews.com








