BN tiada tekanan adakan PRU-15 lebih awal, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

BN tiada tekanan adakan PRU-15 lebih awal, kata penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Mac - Maybank Investment Bank (IB) Research berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkemungkinan ditekan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal, memandangkan kemenangan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini pada pilihan raya negeri Johor. 

 

Ini memandangkan BN, yang kini terkial-kial berada di bawah pakatan pemerintahan yang 'berbumbungkan' Pakatan Nasional (PN) ingin mendapatkan semula mandat sebelum PRU-14 untuk mentadbir secara bebas.

 

"Walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah (55%) dan undi berpecah menyumbang kepada kemenangan penentu BN, terdapat sedikit keraguan bahawa Ismail Sabri (UMNO) akan mengalami tekanan untuk menggesa pilihan raya umum awal (PRU-15, diadakan menjelang pertengahan 2023)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Setelah membina momentum yang kuat daripada pilihan raya negeri Melaka pada November 2021, dengan gabungan BN ditunjangi UMNO memenangi majoriti dua pertiga yang meyakinkan, pilihan raya negeri Johor yang diadakan pada hujung minggu lalu memberi satu lagi kemenangan kepada BN.

 

Parti itu memenangi 40 daripada 56 kerusi manakala gabungan PN pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pakatan Harapan (PH) menerima nasib yang buruk.

 

Seperti yang dinyatakan dalam laporan tinjauan pasaran Malaysia 2022 (Fastforward to GE15, please), Maybank IB berkata, keadaan pakatan pemerintah semasa negara yang sangat bercelaru, dan kesan buruknya terhadap penggubalan dasar dan kesesuaian, merupakan masalah besar di peringkat makro dan pasaran.

 

Secara khusus, katanya, dinamik fiskal yang tegang telah menyebabkan (berdasarkan Bajet 2022) pelaksanaan cukai/levi secara adhoc, terutamanya kepada sektor korporat (contoh Cukai Makmur, yang mengakibatkan penguncupan pendapatan KLCI pada 2022 walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramalkan meningkat 6 %), telah melembapkan sentimen perniagaan atau pelabur dan meningkatkan premium risiko pasaran.

 

"Oleh itu, kami berpendapat, PRU-15 lebih awal memberi kerajaan kedudukan yang lebih stabil. Ini amat penting bagi membolehkan penjanaan hasil fiskal secara meluas, terutama melalui peralihan kepada cukai tidak langsung (contohnya, GST, cukai keuntungan modal, cukai karbon, yang kesemuanya harus terkandung dalam Strategi Hasil Jangka Sederhana kerajaan yang belum selesai pada pertengahan 2022)," jelasnya.

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan unjuran akhir tahun KLCI pada 1,710 mata. 

 

Dengan menonjolkan prestasi cemerlang KLCI setakat ini berbanding kedua-dua pasaran maju dan rakan setara ASEAN, Maybank IB percaya Malaysia secara amnya memanfaatkan lonjakan harga komoditi yang berterusan kerana saham berkaitan merangkumi kira-kira 24% daripada permodalan indeks.

 

Katanya, walaupun lonjakan harga minyak baru-baru ini sebagai positif untuk KDNK dan perdagangan Malaysia, tetapi ia melihat kenaikan fiskal sebagai 'terpengaruh dengan ketara' oleh subsidi harga bahan api.

 

"Namun, sebarang pelarasan kepada subsidi bahan api hanya dilihat selepas PRU-15, dan berkemungkinan progresif - iaitu bukan pengganti kepada pembaharuan cukai struktur," tambahnya. - DagangNews.com