Bintai Kinden dilantik jual produk perpaipan syarikat Korea Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintai Kinden dilantik jual produk perpaipan syarikat Korea Selatan

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Bintai Kinden Corp. Bhd. menerusi unitnya, Bintai Energy Sdn Bhd telah dilantik oleh World Standard Materials Co. Ltd. (WSM) untuk menjual dan memasarkan bebibir, plat, tiub, paip, gegelung dan kelengkapan untuk industri kimia dan petrokimia.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, kerjasama bagi tempoh tiga tahun dengan WSM membolehkan kumpulan meluaskan penawaran produk kepada industri kimia dan petrokimia.

 

Katanya, ia penting untuk peranan mereka dalam rantaian nilai industri lain seperti plastik dan automotif semasa mereka membekalkan bahan mentah.

 

"Kami gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan WSM, yang mana usaha penyelidikan dan pembangunannya telah diberi ganjaran dengan bebibir, paip dan kelengkapan berkualiti yang digunakan dalam industri kimia dan petrokimia. 

 

"Malah, Kami berharap dapat bekerjasama untuk mengembangkan pasaran produk WSM di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Azri Azerai
Azri Azerai

 

 

Bintai Energy adalah 51% dimiliki Bintai Kinden menerusi subsidiari milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd. 

 

WSM ditubuhkan pada 1999 di Busan, Korea Selatan dan terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk keluli industri. 

 

Syarikat itu membekalkan kepada pelbagai industri di peringkat antarabangsa, termasuk minyak dan gas, penjanaan kuasa, pembinaan kapal, industri kimia dan petrokimia.

 

Sebagai sebahagian daripada pelantikan, WSM akan bekerjasama dengan Bintai Energy untuk mencari peluang serta menyediakan sokongan harga teknikal dan kompetitif yang diperlukan bagi produk manakala Bintai Energy akan bertanggungjawab untuk promosi produk WSM. 

 

Sementara itu, Presiden WSM, Ahn Byung Hwan berkata, pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Bintai Energy dengan membawa produknya ke pasaran Malaysia. 

 

"Kami percaya bahawa secara bersama, kedua-dua pihak akan dapat memasuki industri kimia dan petrokimia,” katanya. - DagangNews.com