Bina semula daulah Filastin menerusi Wakaf Infrastruktur negara-negara Islam | DagangNews Skip to main content

Bina semula daulah Filastin menerusi Wakaf Infrastruktur negara-negara Islam

Kawasan perumahan al-Rimal di Semenanjung Gaza telah dibom teruk rejim zionis. Gambar ATIA DARWISH/ZUMA PRESS
Oleh PROF. MADYA DR. MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB

SEJARAH dunia sekali lagi dipahat dengan kebiadapan entiti haram Yahudi Zionis menindas negara Palestin dengan kezaliman yang melampaui batas kemanusiaan.

 

Negara-negara besar dunia pula masih membutakan mata dan memekakkan telinga daripada melihat kesengsaraan rakyat Palestin yang terus menerus ditindas dan dizalimi di hadapan mata.

 

Sejumlah 15,000 korban nyawa yang melayang setakat ini, masih belum mampu mengetuk hati nurani kemanusiaan pemimpin-pemimpin dunia untuk menghalang kekejaman ini daripada terus berleluasa. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,000 daripada mangsa yang terkorban ialah wanita dan kanak-kanak, namun tiada sekelumit rasa simpati wujud di dalam hati mereka.

 

Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pendirian tegas dengan mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Israel ke atas rakyat dan negara berdaulat Palestin.

 

Sebagai negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia juga mengulangi komitmen akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan bagi rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Asia Barat.


 

parafrasa

 


Pada masa sama, sokongan tidak berbelah bagi dizahirkan kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel.

 

Di samping semua tindakan protes yang telah ditunjukkan oleh negara-negara Islam dan masyarakat dunia, umat Islam sendiri perlu memperteguhkan kekuatan dan solidariti dalam menghadapi keangkuhan rejim zionis ini.

 

Seluruh umat Islam perlu menggembleng seluruh kekuatan yang dimiliki iaitu melalui tindakan kebersamaan yang melibatkan solidariti umat Islam seluruh dunia.

 

Dengan kekuatan umat Islam yang mencecah 1.9 billion seluruh dunia dan merupakan agama kedua paling ramai penganut di dunia, pastinya tindakan yang bersifat solidariti bersama akan memberikan impak kepada Israel, sekutunya dan seluruh dunia.

 

Terkini, selepas lanjutan gencatan senjata berjaya menghentikan sementara pengeboman di Gaza, persoalan mula timbul mengenai nasib rakyat Palestin selepas dibenarkan pulang ke kediaman mereka.

 

Dalam lebih 50 hari serangan berterusan, tentera Israel mengubah sebahagian besar landskap negara Palestin dengan seluruh kawasan perumahan bertukar menjadi runtuhan. Natijahnya, kemusnahan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin oleh tentera Israel hingga menyebabkan lebih 700,000 warga Palestin menjadi pelarian.

 

Umat Islam seluruh dunia perlu bersedia dan berusaha sedaya mungkin membantu membangunkan kembali Palestin seperti sediakala. Wakaf infrastruktur daripada seluruh negara-negara Islam merupakan penyelesaian terbaik membantu kembali Palestin untuk bangkit semula.

 

Hasrat ini boleh dicapai menerusi tanggungjawab dan kerjasama seluruh negara-negara Islam dalam pembangunan menerusi wakaf infrastruktur. Ia merupakan konsep wakaf paling afdhal dalam konteks sekarang khususnya menerusi dana sumbangan daripada kerajaan negara-negara Islam dan umat Islam keseluruhannya.


 

iktisad

 


Wakaf Infrastruktur

Wakaf infrastruktur ialah suatu konsep pembangunan harta wakaf yang memfokuskan kepada pembinaan infrastruktur bagi memenuhi keperluan dan pembangunan masyarakat, semata-mata kerana Allah SWT.

 

Sumber pembangunan wakaf infrastruktur boleh diperoleh sama ada secara konvensional iaitu melalui harta tak alih (al-‘aqar) seperti tanah dan bangunan, ataupun melalui wakaf tunai yang ditukarkan menjadi harta tak alih yang bermanfaat dan wujud secara nyata.

 

Dalam konteks pembangunan semula Palestin, dana sumbangan negara-negara Islam adalah sumber utama yang perlu difokuskan.

 

Asas wakaf infrastruktur adalah berdasarkan hadith yang sahih iaitu jawapan Rasulullah SAW kepada ‘Umar al-Khattab RA apabila baginda ditanya tentang apa yang perlu dilakukan kepada tanah milik ‘Umar al-Khattab RA di Khaybar. Baginda SAW bersabda: “Tahanlah pokoknya dan bersedekahlah dengannya (iaitu manfaatnya)”.

 

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW ini, para ulama’ menyatakan bahawa ia merupakan konsep asas kepada pelaksanaan ibadah wakaf iaitu, pertama; tahbis al-asl iaitu menahan pokok atau asas harta (daripada rosak atau musnah), dan kedua; tasbil al-thamarah iaitu menyalurkan buah atau manfaat harta kepada penerima wakaf.

 

Ia menepati perspektif Nabi SAW berdasarkan analisis hadith-hadith wakaf infrastruktur secara tematik.

 

Penelitian secara tekstual (harfiyyah) dan kontekstual (siyaqiyyah) kepada hadith wakaf infrastruktur dalam kitab hadith berautoriti sebenarnya sangat penting dan ia merupakan teks praktikal wakaf infrastruktur berdasarkan tekstual hadith (matan) yang berautoriti, walaupun ia bersifat ijtihadi dalam konteks fiqh.

 

Konteks ijtihadi wakaf menurut fiqh masih perlu merujuk kepada kerangka praktikal wakaf infrastruktur yang terbukti secara tekstual telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA.


 

parafrasa

 


Dalam pelaksanaan wakaf infrastruktur, ia perlu menepati konsep asas yang telah dinyatakan iaitu pemeliharaan pokok atau asas harta daripada rosak atau musnah, dan penyaluran manfaat harta wakaf secara terus kepada penerima wakaf.

 

Bagi memastikan konsep ini dapat dilaksanakan, pelaksanaan wakaf infrastruktur perlu dirancang dengan teliti dan mengambil kira semua aspek berkaitan iaitu, pertama; tahbis al-asl (pemeliharaan asas harta) iaitu pemilihan kaedah dan jenis pembangunan.

 

Kaedah pembangunan harta wakaf mestilah mengambil kira kriteria pematuhan syarak sepenuhnya (aqad dan proses) dalam pelaksanaan projek, manakala jenis pembangunan terbaik ialah pembinaan infrastruktur berdasarkan keutamaan semasa dan setempat, dengan kegunaan manfaat yang menyeluruh.

 

Dalam konteks Palestin, analisis segera perlu dilaksanakan bagi menyenaraikan keperluan utama yang perlu disegerakan pembinaannya.

 

Seterusnya, mekanisme pengawalan harta daripada rosak atau musnah iaitu setiap projek pembangunan yang dijalankan perlu mengambil kira aspek pengawalan daripada kerosakan dan tempoh ketahanan agar manfaat dapat diperoleh untuk tempoh masa yang panjang.

 

Segala risiko kerosakan dan kemusnahan dalam pembangunan harta wakaf perlu dinilai dan diambil kira semasa proses pelaksanaan pembangunan tersebut. Di Palestin, pastinya ada risiko kemusnahan semula harta yang diwakafkan namun ia tidak menjadi persoalan utama kerana keperluan utama Masyarakat Islam perlu disegerakan.

 

Kedua; tasbil al-thamarah (penyaluran manfaat harta) iaitu sasaran penerima manfaat. Penentuan sasaran penerima manfaat amat perlu dilakukan sebelum sesuatu projek pembangunan harta wakaf dijalankan.

 

 

wainuiomata

 

 

Sasaran penerima manfaat yang tepat akan memaksimumkan kegunaan sesuatu harta wakaf, mengelakkan pembaziran sumber dan meluaskan penyebaran manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

 

Bagi pembangunan wakaf infrastruktur di Palestin, keutamaan perlu diberikan kepada keperluan wanita dan kanak-kanak agar kebajikan mereka terbela.

 

Seterusnya, jenis manfaat ditentukan berdasarkan sasaran penerima manfaat. Ia juga akan mempengaruhi jenis pembangunan yang dipilih dalam membangunkan sesebuah harta wakaf.

 

Bagi pembangunan wakaf infrastruktur, secara asasnya terdapat empat bidang pembangunan yang perlu diutamakan iaitu:

1. Keagamaan seperti masjid, tanah perkuburan, pusat zakat, baitulmal dan sebagainya,

2. Pendidikan seperti sekolah, institusi pengajian tinggi, perpustakaan dan sebagainya.

3. Kesihatan seperti klinik dan hospital, pusat dialisis, makmal sains perubatan dan sebagainya.

4. Kemudahan sosial seperti taman rekreasi dan permainan, pusat sukan, pusat sehenti awam (one stop centre), pusat kebudayaan, balai raya, dewan orang ramai dan sebagainya.

 

Dalam konteks pembangunan semula Palestin, keperluan utama ialah pada penginapan dan tempat tinggal yang telah musnah semuanya, maka keutamaan boleh diberikan kepada pembinaan semula rumah-rumah penduduk yang terjejas akibat peperangan ini.

 

Instrumen wakaf mampu memainkan peranan sebagai mekanisme terbaik bagi pembinaan semula negara berdaulat Palestin menerusi pelaksanaan wakaf infrastruktur.

 

Ia boleh dilakukan menerusi sumbangan kewangan daripada seluruh negara-negara Islam yang kaya raya serta memiliki teknologi yang maju.

 

Koordinasi pembangunan wakaf di Palestin ini boleh dilaksanakan secara bersama melalui sekretariat di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

 

Malaysia pastinya boleh memainkan peranan yang besar dan penting dalam memastikan usaha ini dilaksanakan dengan jayanya seterusnya membangunkan kembali negara Islam Palestin.

 

Wakaf diakui sebagai instrumen kewangan Islam yang paling bermanfaat kepada seluruh manusia dan telah berakar umbi sekian lama dalam ajaran agama Islam.

 

Masyarakat umum khususnya umat Islam perlu sentiasa konsisten dalam berwakaf dan menyokong produk wakaf serta menjadikan wakaf sebagai budaya hidup.

 

 

parafrasa

 

 

Pembudayaan wakaf dalam kehidupan seharian juga merupakan saranan daripada Rasulullah SAW, serta mendapat jaminan daripada Allah SWT dan rasulNya dari sudut kelangsungan kebaikan dan pahala yang diperoleh sepanjang hayat di dunia dan ganjaran di akhirat, hasil daripada amalan berwakaf.

 

Dalam konteks semasa, pastinya wakaf pembangunan semula negara Palestin merupakan keutamaan dan kewajipan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia.- DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB adalah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.