MERSING 31 Dis – Komited untuk merancakkan lagi impak kewangan sosial Islam kepada masyarakat dan alam sekitar, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini telah menyempurnakan Projek Sistem Tenaga Fotovoltan (PV) di Perkampungan Rumah Rakit, Tanjung Surat, Johor Darul Takzim.
Projek bernilai RM87,800, yang dibiayai hasil daripada pendanaan awam Sadaqa House, akan memudahkan komuniti yang tinggal di rumah rakit di kawasan terbabit mendapat bekalan elektrik yang dijana cahaya matahari sepenuhnya.
Kaedah mesra alam ini turut menyediakan penjimatan kos dan akses kepada sumber tenaga elektrik yang lebih selamat kepada kediaman terlibat.
Panel-panel solar tersebut mampu menjana tenaga elektrik untuk bekalan selama 48 jam tanpa cahaya matahari, menjadikannya sangat sesuai digunakan di kawasan pedalaman atau terpencil.
Penggunaan panel solar ini juga akan memberi manfaat kepada alam sekitar kerana ia dapat mengurangkan pengeluaran karbon oleh set generator berkuasa diesel yang sebelum ini digunakan sebagai sumber kuasa elektrik oleh komuniti setempat.
Projek ini juga menjadi medan latihan kepada pelajar-pelajar Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas dan Pasir Gudang serta Politeknik Ibrahim Sultan dan Politeknik Port Dickson.
Projek usaha sama ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan projek perintis tenaga solar Eco-Balai Rawatan di Kampung Orang Asli Pucur, Kluang pada 2017 dan Kampung Orang Asli Woh Intake Tapah, Perak pada 2020 yang telah memberi manfaat kepada lebih 90 orang penduduk di kawasan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, akses kepada tenaga bersih dan selamat merupakan asas kepada kemajuan hidup komuniti.
‘’Sehubungan itu, kami berhasrat agar penduduk terlibat dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan selesa.
‘’BIMB sentiasa menyokong projek atau usaha-usaha yang mendorong kepada peningkatan taraf kehidupan masyarakat.
‘’Setakat ini, bank ini telah menyalurkan hampir RM300,000 dalam penyediaan panel-panel solar demi manfaat lebih 220 penduduk melalui kerjasama Sadaqa House dan UTM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sokongan sistem tenaga solar yang mesra alam ini juga adalah sejajar dengan objektif global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan merujuk khusus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-7 iaitu memastikan akses kepada tenaga mampu milik dan bersih.
Mohd Muazzam dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Hj Ahmad telah menyempurnakan majlis penyerahan Projek Tenaga Elektrik Solar Rumah Rakit Tanjung Surat yang berlangsung pada 28 Disember 2021 di Masjid Az-Zahidin, Tanjung Surat, Johor.
Turut hadir, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan BIMB, Mohd Nazri Chik; Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Elektrik UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Wazir Mustafa; Ketua Projek Tenaga Elektrik Solar Rumah Rakit Tanjung Surat UTM, Dr. Zulkarnain Ahmad Noorden dan Ketua Kampung Tanjung Surat, Amin A Rahman.
Pada majlis tersebut, BIMB menyampaikan sumbangan barangan keperluan rumah kepada keluarga kurang berkemampuan dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Masjid Az-Zahidin, Tanjung Surat.
Projek Sistem Tenaga Solar PV BIMB-UTM baru-baru ini telah menerima pengiktirafan ‘Sokongan Komuniti Cemerlang’ di Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021. – DagangNews.com


