KUALA LUMPUR 30 Ogos - Keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) kumpulan BIMB Holdings Bhd. meningkat 6.6% kepada RM612.2 juta bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2021.
Keuntungan bersih bagi tempoh itu juga meningkat sebanyak 6.8% kepada RM387.1 juta.
Kumpulan turut mencatatkan pulangan ekuiti (ROE) tahunan yang sihat sebanyak 11.6% dan aset bersih sesaham berada pada RM3.69 setakat 30 Jun 2021.
Bagi kumpulan Bank Islam, ia mencatat PBZT sebanyak RM475 juta pada separuh pertama, naik 22.1% berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Peningkatan tersebut disebabkan terutamanya oleh ketiadaan kerugian modifikasi yang signifikan terhadap moratorium automatik yang diberikan kepada pelanggan selama tempoh tersebut.
Bagi tempoh sama pada 2020, Bank Islam telah menanggung kerugian sebanyak RM97.8 juta bagi kerugian modifikasi untuk moratorium automatik yang diluluskan pada April 2020.
Sementara itu, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. (Takaful Malaysia) mencatat PBZT sebanyak RM210.2 juta bagi separuh pertama, lebih rendah berbanding RM211.8 juta yang dicapai bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan operasi bagi tempoh itu adalah sebanyak RM1.62 bilion, 13.1% lebih tinggi berbanding RM1.43 bilion yang dicatatkan pada separuh pertama 2020.
Pertumbuhan ini disebabkan terutamanya oleh penjualan lebih tinggi untuk perniagaan Takaful Keluarga dan Am.

Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, ketika dunia memerangi pandemik ini, kumpulan terus menumpukan perhatian untuk menerapkan prinsip-prinsip Syariah, Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan pertimbangan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik (ESG) untuk kekal berdaya tahan dan mempromosikan rangkuman kewangan untuk semua.
Katanya, Bank Islam terus membantu komuniti dengan memberikan impak positif kepada kehidupan dan kelangsungan hidup serta memenuhi keperluan mereka.
"Kami telah menawarkan program Bantuan Pembayaran kepada pelanggan untuk membantu mereka menguruskan aliran tunai dengan lebih baik dalam tempoh mencabar ini.
"Dalam pada itu, kami juga telah menaikkan program pembiayaan mikro iTEKAD dan BangKIT mampu milik yang semakin berkembang, serta turut menawarkan penyelesaian inovatif lain untuk menjana lebih impak lebih signifikan kepada kumpulan sasar kurang berkemampuan dan tidak mendapat khidmat perbankan melalui cabang kewangan sosial kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selaras dengan pencapaian kewangan yang positif, pada akhir Jun 2021, Bank Islam telah mengeluarkan dan menyalurkan sumbangan hampir RM4 juta kepada lebih daripada 11,000 individu dan organisasi melalui pelbagai inisiatif, termasuk pengagihan dana Sadaqa House kepada penerima di bawah 4 sektor fokus iaitu pendidikan, kesihatan, pemerkasaan masyarakat dan alam sekitar.
Menghampiri fasa akhir langkah penstrukturan semula kumpulan, Bank Islam berhasrat untuk membuka nilai untuk semua apabila muncul sebagai satu-satunya institusi kewangan Islam tulen yang tersenarai di Malaysia.
Takaful Malaysia pula akan meneruskan inisiatif strategiknya untuk mengukuhkan daya tahan perniagaan dan menyesuaikan model operasinya dalam menguruskan perniagaan di pasaran yang amat berbeza serta landskap pengoperasian yang dinamik.
Takaful Malaysia juga kekal berwaspada dan berhati-hati dalam menguruskan kos operasi, pertumbuhan perniagaan, dan portfolio risikonya. - DagangNews.com








