BigPay terpilih jadi penyedia rasmi e-dompet program eRezeki | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BigPay terpilih jadi penyedia rasmi e-dompet program eRezeki

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - BigPay terpilih menjadi penyedia rasmi e-dompet bagi program Geng #SayaDigital-eRezeki yang dianjurkan Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC). 

 

Ini membolehkan BigPay menyediakan akses penuh yang bersesuaian dengan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) seperti akaun e-duit dengan kad Visa/Mastercard, bayaran bil, belanjawan, pemindahan bank antarabangsa dan tempatan bagi membantu membantu mereka menguruskan kewangan. 

 

Melalui kerjasama itu, BigPay dan MDEC menyasarkan untuk menarik lebih ramai Geng #SayaDigital-eRezeki bagi mengukuhkan capaian program dan membantu meningkatkan kesedaran tentang pekerjaan sampingan sebagai sumber pendapatan tambahan untuk rakyat Malaysia, di samping menyediakan perkhidmatan kewangan yang telus dan mudah diakses.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani berkata, penglibatan dalam program eRezeki ini dilihat sejajar dengan komitmennya untuk memacu kesejahteraan kewangan dan keterangkuman rakyat Malaysia terutama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan segmen pekerja bebas. 

 

"Kami mendapati segmen ekonomi gig yang semakin berkembang kebiasaannya dikecualikan atau tidak diberi akses kepada produk yang betul oleh firma perkhidmatan kewangan tradisional.

 

"Oleh itu, kami akan terus bekerja keras tanpa jemu untuk membina perbankan masa depan melalui penyelesaian kewangan digital dan telus untuk semua," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Dilancarkan pada 2015 oleh MDEC, program eRezeki membolehkan rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah menjana peluang pendapatan menerusi platform perkongsian ekonomi secara dalam talian. 

 

Tahun ini, MDEC menyasarkan untuk menarik penyertaan 25,000 peserta daripada 500 Geng #SayaDigitaleRezeki di seluruh negara. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kejayaan program eRezeki adalah bukti kepada kerajaan dan juga MDEC yang menyedari landskap ekonomi digital yang berubah dengan pantas. 

 

"Saya mengalu-alukan penyertaan BigPay dalam program ini dan bersama-sama boleh membantu rakyat Malaysia ke arah kehidupan yang lebih baik dan untuk semua menikmati faedah yang dibawa oleh ekonomi digital yang sedang berkembang," katanya. - DagangNews.com