KUALA LUMPUR 14 Feb - Betamek memperoleh kontrak bernilai RM123.5 juta bagi membekalkan pelbagai alat ganti elektronik untuk model baharu Perodua.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd menerima surat pelantikan daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
"Pembekalan alat ganti ini telah bermula pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) untuk tempoh enam tahun.
"Projek ini dijangka menjana pendapatan hampir RM123.5 juta kepada syarikat dan anak-anak syarikatnya sepanjang tempoh berkenaan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Menurut Betamek, projek itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegangan syarikat dan tiada kesan kepada aset bersih dan penggearan bagi FY23.
"Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bagi FY23 dan sepanjang tempoh ia berjalan," tambahnya. - DagangNews.com








