Bernama Radio pikul tanggungjawab sebagai ejen menyebar maklumat, berita | DagangNews Skip to main content

Bernama Radio pikul tanggungjawab sebagai ejen menyebar maklumat, berita

SEORANG penyampai di Radio Bernama bukan sahaja perlu mengendalikan konti secara individu malah dalam masa yang sama perlu berinteraksi dengan para audience yang dipancarkan menerusi beberapa platform media sosial.
Oleh FAIZAL ZAKARIA

DI SEBALIK asakan media sosial dan ledakan capaian Internet yang membolehkan pengguna memperoleh akses kepada maklumat daripada pelbagai saluran di merata-rata lokasi, radio terus kekal menjadi pilihan, setidak-tidaknya dalam kalangan warga pemandu.

 

Di negara ini, radio sememangnya mempunyai sejarahnya yang tersendiri sebagai saluran penyebaran maklumat.

 

Bermula pada 1 April 1946 menerusi penubuhan Radio Malaysia yang kemudiannya dikenali sebagai Radio Televisyen Malaysia (RTM), industri penyiaran berkenaan semakin berkembang dari semasa ke semasa.

 

Pada hari ini, terdapat sekurang-kurangnya 60 stesen radio berdaftar di seluruh negara milik kerajaan, separa kerajaan dan pihak swasta, yang bersiaran setiap hari dengan pelbagai genre dan konsep.

 

Jumlah tersebut tidak termasuk beberapa stesen radio tidak berdaftar yang dikendalikan oleh pelbagai pihak, selain stesen radio yang telah ditutup dan tidak lagi beroperasi disebabkan pelbagai faktor.

 

Di sebalik puluhan stesen radio yang menembusi frekuensi pada masa kini, sebahagian besarnya berkonsepkan komersial yang menawarkan hiburan sebagai kandungan utama untuk disajikan kepada pendengar.

 

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa masih terdapat stesen radio yang terus memfokuskan kepada penyebaran informasi dan berita sebagai kandungan utama mereka, iaitu Bernama Radio.

 

Dilancarkan pada 3 September 2007, stesen berkenaan yang pada awalnya dikenali sebagai Radio24, atau Bernama Radio24, dimiliki sepenuhnya oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), agensi berita nasional rasmi yang menyediakan kandungan berita dalam dan luar negara.

 

 

 Azlan Idris
                                             Azlan Idris

 

 

Ketua Bernama Radio, Azlan Idris berkata, sebagai sebuah stesen radio di bawah Bernama, pihaknya mempunyai peranan yang besar untuk menjadi ejen penyebar maklumat kepada masyarakat.

 

“Bernama Radio tidak sama seperti stesen radio lain, khususnya stesen radio komersial, yang dikendalikan pihak swasta.

 

“Sebagai sebuah stesen radio di bawah agensi penyedia maklumat nasional, kami perlu melebarkan peranan Bernama sebagai sebuah entiti penyebar maklumat yang sahih dan terkini menerusi platform radio.

 

“Kewujudan Bernama Radio bermula pada 3 September 2007, menjadi sejarah bagi Bernama kerana dengan tertubuhnya stesen radio ini, ia telah melengkapkan peranan Bernama sebagai penyebar maklumat menerusi platform ‘wire’, televisyen (Bernama TV) dan radio.

 

“Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa Bernama Radio  ialah stesen radio yang pertama di negara ini yang berkonsepkan berita, dengan kandungan yang memfokuskan kepada berita dan maklumat, tanpa sebarang program hiburan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

 

 

 Azlan Idris
Azlan Idris memerhati kakitangan Bernama Radio menguji sistem siaran. - Gambar DagangNews.com

 

 

Mengulas lanjut, Azlan berkata, Bernama Radio yang kini bersiaran selama 24 jam menerusi empat frekuensi di seluruh negara, bukan sahaja boleh didengari secara konvensional menerusi saluran frekuensi, malah di platform digital serta media sosial seperti YouTube, Live Facebook selain Twitter, sejajar dengan peredaran teknologi.

 

“Jika dibandingkan dengan stesen radio komersial, mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Bernama Radio kerana kami tidak sepopular mereka disebabkan kami hanya memfokuskan kepada kandungan berbentuk berita dan maklumat semata-mata.

 

“Tetapi  ramai yang tidak sedar bahawa Bernama Radio telah menjadi rujukan sehingga lahirlah stesen-stesen radio lain yang  berkonsepkan kandungan berita dan penyebaran maklumat seperti yang dilakukan oleh sebuah syarikat penyiaran terkemuka negara,” ujarnya.

 

Ketika ditanya sama ada konsep Bernama Radio sebagai radio berita masih relevan masa kini, Azlan berkata  stesen radio itu mempunyai pengikut dan pendengarnya yang tersendiri.

 

Jelasnya, walaupun jumlah rating pendengar mingguan yang dicatatkan tidaklah setanding yang dicapai oleh stesen radio komersial utama milik swasta, namun ia tetap memberi gambaran bahawa kewujudan Bernama Radio masih ditagih.

 

 

 Azlan Idris
RUANG santai di dalam studio Bernama Radio turut diguna sebagai tempat perbincangan Azlan Idris dengan kakitanganya. - Gambar DagangNews.com

 

 

Katanya lagi, antara pendengar setia Bernama Radio ialah golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dahagakan maklumat dan berita sahih setiap hari.

 

“Di Bernama Radio, selain menyalurkan kandungan berita, kami juga mempunyai slot yang menyebarkan pelbagai maklumat daripada sumber berbeza kepada pendengar.

 

Antaranya, temu bual eksklusif bersama tetamu kehormat serta program ‘Kabar Merah Putih’ menerusi kerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur 4 tahun lalu dan terkini, program usaha sama dengan ANTARA,  agensi berita utama di Indonesia, selain program ‘Kawan Luar Biasa’ yang dikhususkan untuk golongan OKU.

 

“Malah, ketika negara digemparkan dengan tragedi MH317, MH17 selain bencana banjir besar yang berlaku beberapa tahun lalu, anggota masyarakat yang prihatin, bergantung harap kepada maklumat sahih yang disalurkan oleh Bernama Radio.

 

“Kandungan seperti inilah yang menjadi tunjang dan kekuatan Bernama Radio untuk terus bertahan sebagai penyebar maklumat dan berita kepada seluruh masyarakat, selain menarik minat pengiklan untuk terus bersama kami,” katanya.

 

Beliau berkata walaupun menyedari perkembangan industri penyiaran khususnya radio semakin sengit pada masa kini, pihaknya yakin konsep kandungan yang bersandarkan berita dan maklumat, akan terus bertahan dan meraih populariti dalam kalangan kumpulan pendengar dan pengikutnya yang tersendiri. – DagangNews.com