Belum masanya laksana langkah pengambilalihan & penggabungan - Top Glove | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belum masanya laksana langkah pengambilalihan & penggabungan - Top Glove

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Jun - Top Glove Corp. Bhd. tidak berhasrat untuk melaksanakan sebarang langkah pengambilalihan dan penggabungan (M&A) buat masa ini memandangkan persekitaran operasi yang masih mencabar.

 

Pengarah Eksekutifnya, Lim Cheong Guan berkata, bagaimanapun, terdapat pemain industri yang sukar menghadapi tempoh sukar ini terutama pendatang baharu dan syarikat kecil. 

 

Namun, beliau mengakui, pihaknya ada menerima cadangan daripada beberapa pemain industri yang berminat untuk melaksanakan M&A. 

 

"Tetapi, berdasarkan penilaian aset kami ketika ini, belum terdapat keperluan bagi kami untuk melakukan sebarang pengambilalihan kilang baharu. 

 

"Kami mempunyai kapasiti yang mencukupi dan juga pelan pengembangan kami, justeru, kami melihat tiada keperluan lagi untuk meningkatkan kapasiti seterusnya.

 

"Mungkin pada masa akan datang, apabila bekalan-penawaran lebih seimbang, kami mungkin mempertimbangkan langkah ini dalam tempoh 2 tahun lagi, dengan penilaian yang lebih efektif," jelasnya. 

 

Lim Cheong Guan
Lim Cheong Guan

 

 

Beliau berkata demikian ketika taklimat prestasi kewangan suku ketiga berakhir 31 Mei 2022 yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai.

 

Turut hadir, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow dan Ketua Pegawai Kewangannya, Ng Yong Lin.

 

Top Glove mengharungi persekitaran yang mencabar hingga menyaksikan untung bersihnya pada suku ketiga menjunam kepada RM15.29 juta daripada RM2.04 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ia menyaksikan pendapatan pada suku tersebut juga susut kepada RM1.46 bilion berbanding daripada RM4.16 bilion.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mei 2022, untung bersihnya juga merosot kepada RM288.56 juta daripada RM7.26 bilion manakala pendapatan susut kepada RM4.5 bilion berbanding RM14.29 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Baca : Untung bersih Q3 Top Glove menjunam kepada RM15.29 juta akibat tekanan kos

 

Susulan itu, Top Glove turut menangguhkan dan mengurangkan perbelanjaan modal (capex) utamanya dengan  segera dan menyelaraskan rancangan pengembangan sejajar keadaan pasaran.

 

 

Top Glove

 

 

Cheong Guan berkata, kumpulan kini memberi fokus kepada pengembangan huluan seperti bekalan bahan mentah secara dalaman dan loji penstrilan gamma bagi mengurangkan kebergantungan, menambah baik kos dan kecekapan operasi. 

 

Jelasnya, permintaan sarung tangan getah dijangka meningkat memandangkan peralihan fasa pandemik kepada endemik dan ia masih merupakan keperluan penjagaan diri yang penting bagi sektor penjagaan kesihatan. 

 

Bagaimanapun, katanya, kadar pertumbuhan permintaan bagi ekonomi baharu muncul yang mana penggunaannya secara relatif masih rendah dan juga kesedaran menjaga kebersihan dan kesihatan selepas era pandemik.

 

"Volum sarung tangan getah pembedahan akan terus berkembang terutama apabila fasa pertama loji penstrilan mula beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2022.

 

"Penangguhan rancangan pengembangan oleh pengeluar utama akan membantu mencapai keseimbangan permintaan dan bekalan. Pada masa sama, penutupan kapasiti daripada pemain baharu dan kecil juga dapat mengurangkan situsi lebihan bekalan," katanya.

 

Mengenai prospek harga purata jualan (ASP), menurutnya, ia dijangka kekal dalam had julat memandangkan persekitaran perniagaan kekal mencabar dalam tempoh terdekat. 

 

"Dengan pengurangan bekalan terutama daripada pendatang baharu, ini dapat membantu mengurangkan bekalan dalam pasaran dan juga penangguhan pengembangan, akan menyaksikan ASP akan mengalami pelarasan. 

 

"Dalam hal ini, saya percaya ASP akan lebih stabil dan secara berperingkat-peringkat didorong persekitaran bekalan dan permintaan," tambahnya. - DagangNews.com