Belanjawan 2023 : Pelbagai peruntukan disediakan tangani isu rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2023 : Pelbagai peruntukan disediakan tangani isu rakyat

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan menyediakan peruntukan untuk menangani pelbagai isu masyarakat seperti jenayah penipuan dalam talian, kes muflis, pemerkasaan banduan dan hak pengguna perkhidmatan kredit.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, National Scam Response Centre (NSRC) yang telah ditubuhkan untuk mengatasi jenayah penipuan dalam talian atau scam diberikan sebanyak RM10 juta bagi geran pengoperasian bagi mengukuhkan peranannya.

 

Bank Negara Malaysia juga akan menguatkuasakan dasar ‘kill switch’ kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.

 

Sementara itu, kerajaan juga ingin mengatasi masalah muflis dalam kalangan masyarakat, di mana lebih 260,000 kes muflis direkodkan terutamanya dalam golongan Melayu dan 130,000 orang akan dilepaskan daripada status muflis dengan pindaan Akta Insolvensi 1967.

 

Anwar berkata, akta itu akan dipinda supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat dan sementara menunggu pindaan, kes kecil melibatkan hutang individu kurang daripada RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.

 

Sementara itu, golongan banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program ‘Skill for Inmate’ bagi kepentingan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat.

 

“Majikan juga digalakkan untuk menggaji banduan termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney dan institusi perlindungan dan pemulihan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan layak mendapat potongan cukai tambahan. 

 

Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan RM10 juta,” kata Anwar.

 

Sementara itu, hak syarikat yang menyediakan perkhidmatan kredit pengguna seperti syarikat pemfaktoran dan Buy Now Pay Later perlu dikawal bagi melindungi hak pengguna. 

 

“Bagi menjamin layanan yang adil serta melindungi hak rakyat dan perniagaan, kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit yang dijangka akan dibentangkan pada tahun ini,” ujar beliau.

 

Sementara itu, bagi membantu rakyat susah mendapat pembelaan yang adil dan saksama, Jabatan Bantuan Guaman akan menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada RM30,000 kepada RM50 ,000. 

 

“Fungsi Jabatan Bantuan Guaman juga akan diperluas meliputi kes sivil dan syariah. Melangkah ke hadapan, kerajaan akan meneliti ikhtiar untuk menggubal akta yang khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah turut mendapat akses kepada keadilan,” tambahnya. -DagangNews.com