Belanjawan 2023 : Kerajaan sedia subsidi RM64 bilion tangani kos sara hidup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2023 : Kerajaan sedia subsidi RM64 bilion tangani kos sara hidup

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan tahun ini menyediakan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif bagi menangani kos sara hidup.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah besar dana ini adalah untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat terbanyak.

 

Menurutnya, sejak awal mengemudi pentadbiran negara, isu utama yang diberi perhatian ialah kos sara hidup rakyat. 

 

"Dalam menimbang usaha menangani kenaikan kos sara hidup, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan Konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan. 

 

"Salah satunya ialah Inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga hanya 5 ringgit. 

 

"Alhamdulillah inisiatif ini dijangka menerima sambutan yang baik daripada daripada pengusaha makanan dan rakyat," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

 

Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30% lebih murah berbanding pasaran. 

 

Kerajaan, katanya, menyediakan RM100 juta untuk menjayakan program ini di setiap kawasan Parlimen.

 

"Selain itu, kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu, antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan," tambahnya. - DagangNews.com