KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk menoktahkan kemiskinan tegar dengan segera membantu kira-kira 130,000 rakyat tersusah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) membabitkan peruntukan sebanyak RM750 juta untuk 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.
"Inisiatif IPR ini adalah bagi menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa pendekatan baharu akan dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.
Antaranya, bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.
Menurutnya, aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.
"Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil diperoleh," katanya. - DagangNews.com








