Belanja ePemula secara bijak, sokong usahawan tempatan, PMKS - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanja ePemula secara bijak, sokong usahawan tempatan, PMKS - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Pelancaran ePemula di Universiti Multimedia, Cyberjaya hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SEPANG 15 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru golongan belia yang layak menerima inisiatif ePemula berbelanja dengan bijak.

 

Ismail Sabri berkata, kredit RM150 tersebut boleh digunakan untuk menyokong perniagaan para pengusaha tempatan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara offline agar mereka dapat pulih sepenuhnya. 

 

"Sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, lebih banyak hasil negara dan lebih ramai rakyat, terutamanya golongan B40, yang boleh dibantu. Secara keseluruhan, kerajaan yakin bahawa program seperti ePemula ini akan terus memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan yang inklusif buat semua lapisan rakyat dan perniagaan, InsyaAllah," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran ePemula di Universiti Multimedia, Cyberjaya hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, program ePemula di bawah Bajet 2022 merupakan salah satu insentif untuk golongan belia. Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini dan dijangka memanfaatkan seramai 2 juta orang belia seluruh negara.

 

Beliau berkata, tujuan utama program ePemula adalah memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia. 

 

"Proses semakan kelayakan dan tuntutan kredit ini telah pun dibuka beberapa hari lalu, iaitu pada 11 April. Belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam e-dompet pilihan mereka, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet. 

 

 

pm

 

 

"Saya difahamkan keempat-empat penyedia e-dompet ini juga memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, mata terkumpul, diskaun dan banyak lagi manfaat menarik sepanjang tempoh program ini," katanya.

 

Beliau berkata, pada masa ini semakin ramai usahawan dan para peniaga, termasuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana atau PMKS bertransaksi secara e-tunai. Pengguna juga semakin yakin dengan penggunaan e-tunai melalui pelbagai e-dompet. 

 

Beliau berkata, ini jelas terbukti apabila transaksi e-tunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion pada tahun 2021, berbanding RM29.6 bilion pada tahun 2020. 

 

 

pm

 

 

"Kerajaan komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai.

 

"Bagi merealisasikan “Kewangan Untuk Semua” seperti mana dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, pelbagai inisiatif utama di bawah Bajet 2022 bakal menyemarakkan usaha digitalisasi dalam kalangan Keluarga Malaysia. 

 

"Saya menyarankan kesemua usahawan, khasnya PMKS supaya mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutamanya ketika Fasa Peralihan ke Endemik untuk membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai-kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.

 

"Bagi pembeli pula, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

 

"Belia perlu diberi peluang untuk sama-sama mencorak masa depan Malaysia. Kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkatkan bagi melahirkan pekerja mahir. Semangat patriotik dan tanggungjawab kepada negara juga akan dipupuk," katanya.

 

Katanya, sehubungan itu Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi program dan aktiviti belia.

 

Beliau berkata buat masa ini melalui Bajet 2022, secara keseluruhan sekurang-kurangnya RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan golongan belia, termasuk antaranya inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi melibatkan kos RM450 juta. 

 

"Ia akan diagih mulai Jun ini dan dijamin berkualiti tinggi dari jenama terkenal, bakal memanfaatkan kira-kira 350,000 mahasiswa yang mengikuti pengajian seperti diploma dan Ijazah Sarjana Muda, bagi membantu mereka mengikuti aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya.

 

"Kedua, majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun, diberikan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan iaitu meningkat berbanding RM800 sebelum ini. Ini membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan. 

 

"Ketiga, bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan, Kerajaan menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta khusus untuk belia melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank," katanya. - DagangNews.com