KUALA LUMPUR 14 Julai - Keputusan Indonesia membekukan penghantaran pekerja ke negara ini adalah negatif kepada Malaysia khususnya industri minyak sawit memandangkan kebergantungan sektor tersebut terhadap pekerja dari negara berkenaan, demikian menurut CGS-CIMB Research.
Firma itu berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia akan berada di bawah jangkaan pada separuh kedua 2022 sekiranya isu berkenaan tidak diselesaikan.
"Ini adalah negatif kepada pasaran memandangkan pembekuan sementara ini akan menangguhkan pengambilan pekerja asing ke negara ini.
"Malah, ia berkemungkinan memburukkan lagi masalah kekurangan buruh yang dihadapi oleh semua sektor di Malaysia dan melambatkan pemulihan operasi ke tahap sebelum pandemik," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Indonesia dilaporkan menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung perkara itu.

Baca : Indonesia beku penghantaran rakyatnya bekerja di Malaysia
Berdasarkan data yang dikeluarkan Persekutuan Majikan Malaysia, ia menunjukkan Indonesia merupakan sumber bekalan pekerja asing yang penting kepada negara, menyumbang 35% daripada pekerja asing dan 70% pembantu rumah.
Dilaporkan bahawa Malaysia kini kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam industri pembuatan (627,000 orang) diikuti perladangan (120,000 orang) dan pembinaan (550,000 orang).
Bagaimanapun, CGS-CIMB berpendapat, sektor perladangan paling terjejas teruk dengan keputusan yang dibuat kerajaan Indonesia itu memandangkan ia bergantung kepada pekerja asing bagi aktiviti penuaian di ladang sawit.
Keadaan ini, katanya, bertambah kritikal memandangkan ketibaan musim pengeluaran puncak pada bulan akan datang, yang akan menyaksikan pengeluaran separuh kedua jatuh di bawah paras daripada setahun lalu.
"Ekoran masalah kekurangan buruh, kenaikan kos (disebabkan kenaikan gaji minimum dan baja) dan penurunan harga minyak sawit mentah, faktor-faktor ini akan memberi kesan kepada hasil pada separuh kedua 2022 dan mengakibatkan risiko penurunan kepada hasil syarikat perladangan di Malaysia," tambahnya.
Selain itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bestinet pada 6 Julai (mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen untuk membawa masuk pekerja) juga mungkin menyebabkan 'sedikit kelewatan' dalam memproses permohonan, seperti dinyatakan Menteri Sumber Manusia.
Bestinet membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), yang digunakan untuk memproses pengambilan pekerja dari semua negara sumber.
"Namun, secara keseluruhan, kami negatif terhadap laporan ini memandangkan ia memberi risiko kepada hasil korporat," tegasnya. - DagangNews








