Bekas KSU Kementerian Kesihatan dilantik Pengerusi Malaysian Genomics | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas KSU Kementerian Kesihatan dilantik Pengerusi Malaysian Genomics

Chen Chaw Min

KUALA LUMPUR 15 Julai - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd. melantik bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah.

 

Pelantikan itu berkuat kuasa 15 Julai 2022, berikutan peletakan jawatan Tan Sri Ahmad Mohd Don pada 12 Julai 2022.

 

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Datuk Alvin Joseph mengalu-alukan penyertaan Chaw Min  sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan berharap dapat bekerjasama dengan beliau dalam memastikan tadbir urus yang betul bagi operasi perniagaan. 

 

"Pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam dan, khususnya, dalam Kementerian Kesihatan sangat berharga kepada kami.

 

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Mohd Don atas sumbangan dan bimbingan yang tidak ternilai kepada lembaga pengarah dalam melaksanakan tugasnya. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam usaha masa depannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Chaw Min yang dilantik ke Lembaga Pengarah pada 3 Ogos 2021, berkhidmat di dalam perkhidmatan awam Malaysia dari 1988 sehingga bersara pada Februari 2021. 

 

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dari Julai 2015 sehingga bersara dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Kementerian Kewangan dari 1990 hingga 2014.

 

Malah, beliau memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang kewangan dari Universiti Putra Malaysia pada 2005 manaka menerima MBA (Kewangan) dari University of Illinois pada 1997 dan Ijazah Sarjana Muda dalam Ukur dari Universiti Teknologi pada 1985.

 

Sementara itu, Chaw Min berkata, Kumpulan kini berkembang melangkaui genomik dan biofarmaseutikal ke arah perkhidmatan penjagaan kesihatan di samping meluaskan jangkauannya ke seluruh Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara.

 

"Saya berasa bertuah untuk mengambil peranan ini pada masa yang begitu menggembirakan untuk Malaysian Genomic. 

 

"Terdapat pasukan yang hebat di sini dan saya berharap pengalaman saya di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan dapat menambah pengetahuan dan pandangan untuk menyokong pertumbuhan sayrikat," katanya. - DagangNews.com