Bekas CEO UPM Holdings, Azrul Reza Aziz terajui MARii | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO UPM Holdings, Azrul Reza Aziz terajui MARii

Azrul Reza Aziz
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melantik Azrul Reza Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya. 

 

Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong berkata, Azrul bakal menerajui MARii menerusi hala tuju baharu dengan penjenamaan yang strategik dan konsisten. 

 

"Dengan pendedahan termasuk pengalaman luas beliau dalam bidang automotif, teknologi dan inovasi, saya yakin beliau mempunyai keupayaan serta kredibiliti bagi membawa MARii ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan. 

 

Sementara itu, Azrul pula berkata, antara keutamaannya ialah memastikan hala tuju MARii selari dengan agenda nasional serta mandat yang ditetapkan Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI).

 

"Saya percaya bahawa masa depan industri automotif bergantung kepada pembangunan serta promosi teknologi sambil menekankan kepakaran teknikal dan memberikan sokongan kepada syarikat automotif serta vendor tempatan di Malaysia. 

 

Katanya, MARii akan terus mengukuhkan rangkaian ekosistem automotif di Malaysia melalui kerjasama erat dengan MITI termasuk pemain industri, universiti dan agensi kerajaan lain.

 

Sebelum ini, Azrul berkhidmat sebagai CEO Kumpulan Universiti Putra Malaysia Holdings Sdn Bhd (UPM Holdings), anak syarikat milik penuh UPM.

 

Beliau mempunyai kira-kira 20 tahun pengalaman dalam dunia korporat selain memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang terutamanya sektor automotif, kewangan dan perbankan, pembangunan modal insan serta perundingan. - DagangNews.com