KUALA LUMPUR 14 Jun - Southsea Gold Sdn. Bhd. hari ini tampil menyangkal segala dakwaan palsu yang dibuat pengurusan baharu Bahvest Resources Berhad (Bahvest) kepada pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada 13 Jun 2023.
Syarikat itu menafikan dakwaan yang menyatakan sejumlah RM13 juta dipindahkan daripada Bahvest semasa pengasas kumpulan dan bekas pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutif Datuk Lo Fui Ming meninggalkan kumpulan itu.
Southsea Gold menjelaskan bahawa, RM13 juta itu tidak dipindahkan seperti yang didakwa sebaliknya ia adalah nilai pampasan yang dirundingkan, dikurangkan daripada RM20.4 juta daripada surat tuntutan asal
"RM13 juta ini diistilahkan sebagai deposit tidak boleh dikembalikan untuk tujuan meneruskan rundingan ke arah mencapai jumlah pampasan akhir yang perlu dibayar kepada Southsea sebagai sebahagian daripada penyelesaian sementara yang tiba antara Southsea dan Bahvest.
"Ia perlu dibayar dalam dua peringkat sebagai balasan lanjutan masa 90 hari yang diberikan kepada Bahvest.
"Sejumlah RM6 juta telah dibayar kepada Southsea pada 10 Mei 2023 dan bayaran sebanyak RM7 juta seharusnya dibuat pada 29 Mei 2023 tetapi pada 19 Mei 2023, Southsea Gold menerima surat daripada peguam Bahvest memohon lanjutan bayaran baki deposit sementara menunggu keputusan EGM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BACA JUGA: Bahvest gugurkan resolusi semasa EGM susulan perletakan jawatan pengurusan diketuai pengasas syarikat
Pada masa sama, syarikat itu menyatakan bahawa baki RM7 juta itu merujuk kepada pembayaran kedua daripada pampasan RM13 juta yang dirunding dan dipersetujui.
Katanya, jumlah pampasan yang perlu dibayar ialah RM13 juta selepas rundingan dan bukannya RM20.4 juta seperti yang didakwa. Southsea telah mengurangkan RM7 juta daripada surat tuntutan asal.
"Sebarang perubahan daripada penyelesaian sementara yang dipersetujui dan diumumkan oleh Bahvest pada 10 Mei 2023 adalah satu tindakan yang tidak baik dan mengelirukan pemegang saham," katanya.
Southsea Gold memberitahu bahawa tiada sebarang kesa mahkamah sedang berlangsung atau litigasi material antara kedua-dua syarikat berkenaan, oleh itu, tiada apa-apa yang bertentangan dengan peraturan sub-judis pada masa ini.
"Mereka seolah-olah memberi alasan untuk tidak menjawab pertanyaan daripada media dan pemegang saham," katanya.
Sementara itu, Bahvest telah cuba untuk memaksa Southsea Gold untuk membuat perjanjian bagi menyewakan semula tanah tambahan mereka.
Southsea Gold berkata, pada 29 Mei 2023, sampul surat yang mengandungi draf perjanjian antara syarikat itu dan Wullersdorf Resources Sdn Bhd (Wullersdorf), anak syarikat milik penuh Bahvest.
Draf perjanjian itu menyatakan bahawa Southsea Gold memberikan penyewaan kepada Bahvest untuk tempoh permulaan tiga tahun dan boleh diperbaharui secara automatik mengikut budi bicara Bahvest untuk jumlah sewa yang sama sebanyak RM1 juta setiap tahun sehingga 30 September 2048.
"Southsea Gold membayar balik pampasan RM6 juta kepada Bahvest yang dibayar pada 10 Mei 2023 sebagai sebahagian daripada deposit tidak boleh dikembalikan yang dirundingkan untuk pendudukan yang salah.
"Syarikat mengetepikan mana-mana dan/atau semua tuntutan terhadap Wullersdorf dan/atau Bahvest berkenaan dengan pendudukan yang salah," katanya. - DagangNews.com








