Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 untuk semua penjawat awam dan pesara, tidak ikut status vaksinasi - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 untuk semua penjawat awam dan pesara, tidak ikut status vaksinasi - PM

Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 11 April - Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 April 2022 adalah untuk semua kakitangan awam dan pesara yang layak, termasuk mereka yang tidak mendapat dos imunisasi COVID-19 yang lengkap, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, pengumuman awal olehnya sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi. 

 

"Susulan itu, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022. 

 

"Bagaimanapun perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai. Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Katanya, biarpun tidak diwajibkan, kerajaan menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi COVID-19 demi kesejahteraan bersama.

 

Terdahulu, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim kontrak perkhidmatan, contract for service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Bantuan khas sebanyak RM250 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan.

 

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022. - DagangNews.com