Bank Muamalat tawar moratorium kepada pelanggan terjejas banjir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Muamalat tawar moratorium kepada pelanggan terjejas banjir

Keadaan bandar Kota Tinggi, Johor yang ditenggelami air pada 1 Mac 2023.

KUALA LUMPUR 3 Mac - Bank Muamalat Malaysia Bhd mengumumkan bantuan khas banjir yang merangkumi moratorium pembiayaan serta penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan yang terjejas dengan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

 

Ia menggambarkan keprihatinannya terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggan, individu dan perniagaan yang terkesan berikutan banjir teruk yang melanda ketika ini, sejajar komitmen Bank Muamalat dalam membina 'Kehidupan Lebih Baik, Bersama' pelanggan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya percaya bahawa sebagai institusi kewangan Islam, ia bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti pada waktu getir ini.

 

Beliau berkata, Bank Muamalat berharap langkah segera ini akan memberikan kelegaan kepada individu dan perniagaan dalam usaha mereka membina semula kehidupan dan perniagaan yang terjejas.

 

"Pelanggan yang terkesan boleh menghubungi Bank Muamalat untuk berbincang mengenai sebarang masalah berhubung urusan pembayaran pembiayaan mereka sekiranya menghadapi kesulitan kewangan berikutan banjir yang melanda," katanya dalam kenyataan.

 

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau menghubungi pusat khidmat pelanggan di talian 03-26005500. - DagangNews.com