Bajet 2023: Insentif penggajian RM600 hingga RM750 sebulan dibayar kepada majikan untuk galak ambil penganggur, OKU bekerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bajet 2023: Insentif penggajian RM600 hingga RM750 sebulan dibayar kepada majikan untuk galak ambil penganggur, OKU bekerja

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan akan meneruskan Insentif Penggajian di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia yang menganggur daripada golongan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), orang asli, bekas banduan dan wanita yang kembali bekerja. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, untuk ini, insentif penggajian antara RM600 hingga RM750 sebulan akan dibayar untuk tempoh tiga bulan kepada majikan. 

 

Beliau berkata, insentif itu juga akan disediakan kepada golongan veteran serta majikan dan agensi pekerjaan swasta yang menggantikan pekerja asing kepada pekerja tempatan.

 

"Sejak COVID-19 melanda, soal pekerjaan terus menjadi tumpuan utama kerajaan. Tahun 2022, pelbagai inisiatif di bawah Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada lebih 310,000 setakat ini. 

 

"Sungguhpun kita telah mencapai tahap guna tenaga penuh, namun, tumpuan akan tetap diberikan bagi memastikan peluang kerjaya kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat," kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurut Tengku Zafrul, di bawah Insentif Penggajian Perkeso ini, sebanyak RM150 juta disediakan dan dijangka dapat membuka peluang kerjaya kepada lebih 70,000 pencari kerja.

 

"Bagi meringankan beban pencari kerja, sukacita, kerajaan melalui Perkeso akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin. Manakala, bantuan mobiliti RM1,000 melibatkan penghijrahan jarak jauh iaitu dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya," katanya.

 

 

bajet

 

 

Beliau berkata, sejak inisiatif MySTEP dilaksanakan, ia telah berjaya menawarkan lebih 118,000 peluang pekerjaan. 

 

Katanya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan MySTEP dengan menawarkan 50,000 peluang kerjaya secara kontrak merangkumi 15,000 dalam sektor awam dan 35,000 melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

 

"Tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.

 

"Sukacita juga diumumkan bermula tahun 2023, gaji MySTEP akan dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100 berbanding RM1,400 hingga RM2,000," katanya.

 

Tambah beliau, Keluarga Malaysia akan terus disediakan dengan peluang mengikuti pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mempersiap diri memenuhi kehendak pasaran kerja.

 

Katanya, HRD Corp akan menyediakan sejumlah RM750 juta untuk memberi latihan kemahiran kepada lebih 800,000 pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.

 

"Sebagai usaha melahirkan bakat baharu, Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal akan menubuhkan Dana Inovasi Digital (DIGID) melibatkan RM30 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dalam pasaran modal.

 

"Selain itu, RM20 juta turut disediakan bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (PUSh) untuk memanfaat 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan," katanya. - DagangNews.com