Bajet 2022 : Inisiatif bantu syarikat tersenarai diperkenal, SJPP turut ditambah baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bajet 2022 : Inisiatif bantu syarikat tersenarai diperkenal, SJPP turut ditambah baik

 

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Inisiatif bagi membantu syarikat tersenarai di Bursa Malaysia akan diperkenalkan di bawah Bajet 2022.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif ini bertujuan membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah SPV milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan.

 

"Untuk tujuan ini, Khazanah Nasional Berhad akan diberi mandat bagi membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion," katanya dalam pembentangan Bajet 2022 petang ini.

 

Dari segi jaminan pembiayaan perniagaan, beliau berkata, sehingga kini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah memberi jaminan pembiayaan perniagaan bernilai lebih RM46 bilion kepada lebih 44,000 syarikat. 

 

Katanya, ia telah membantu memudahkan PKS mendapat pembiayaan terutamanya dalam tempoh sukar ini. 

 

"Lantaran itu, SJPP akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM10 bilion termasuk RM2 bilion dikhaskan untuk bumiputera. 

 

"Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi. 

 

"Untuk mengurangkan kos transaksi, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas dokumen transaksi penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan," katanya. - DagangNews.com