KUALA LUMPUR 29 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi saranan 'beli' terhadap Bursa Malaysia Bhd. dengan harga sasaran pada RM7.95 sesaham memandangkan ia akan meraih manfaat daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut firma itu, walaupun prestasi kewangannya pada suku pertama kurang memuaskan, tetapi bahang pilihan raya akan memberi impak positif kepada nilai purata dagangan harian (ADTV).
Katanya, setakat 27 April 2022, ADTV mencecah RM2.50 bilion, menyamai anggaran yang dibuatnya sebelum itu bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak RM2.48 bilion.
"Kami menjangkakan ia akan terus meningkat pada separuh kedua ini, dijana oleh dagangan yang meningkat sekitar PRU akan datang, yang kami pertaruhkan berlaku antara Ogos hingga Oktober (iaitu selepas tamatnya MoU tetapi sebelum monsun Pantai Timur).
"Dengan meningkatnya kemungkinan pilihan raya lebih awal ini, kami percaya pelabur akan mula 'memancing' di Bursa Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih Bursa Malaysia merosot 44% kepada RM68 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM121.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Baca : Untung bersih, hasil Bursa Malaysia merosot pada suku pertama
Penurunan itu disebabkan hasil operasi yang lebih rendah pada suku berkenaan, susut 29.4% kepada RM161 juta berbanding RM228 juta bagi tempoh sama 2021, berikutan pengurangan hasil dagangan sekuriti.
Pendapatan bagi tempoh itu juga susut kepada RM165.3 juta daripada RM232.28 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut HLIB, berdasarkan 3 pilihan raya umum sebelum ini, ia memberi kesan positif kepada ADTV Bursa Malaysia, kecuali PRU-12 disebabkan krisis kewangan global.
"Kami melihat ia sebagai saham pilihan menjelang PRU, mendapat manfaat daripada rangsangan ADTV, tetapi tanpa 'hubungan politik', menjadikannya pilihan pelaburan yang menarik.
"Selepas PRU-15 pula, kami berpendapat, pelabur akan memberi reaksi positif sekiranya keputusan pilihan raya menyaksikan pemenang memperoleh mandat yang meyakinkan, berdasarkan kepada senario yang munasabah pada pilihan raya negeri di Johor, Melaka dan Sarawak baru-baru ini," jelasnya.
Setakat 9.53 pagi ini, harga saham Bursa Malaysia susut 9 sen atau 1.29% kepada RM6.86 dengan 180,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








