Bagai di bandar raya Kuala Lumpur, KL Hop-On Hop-Off jadi tarikan AKM Perlis  | DagangNews Skip to main content

Bagai di bandar raya Kuala Lumpur, KL Hop-On Hop-Off jadi tarikan AKM Perlis 

Pengunjung AKM Perlis begitu teruja menaiki bas KL Hop-On Hop-Off bersiar-siar sekitar negeri ini.
Oleh MOHAMAD IMAN

KANGAR 27 Mac - Seolah-olah berada di bandar raya Kuala Lumpur. Itu pengalaman dirasai para pengunjung yang tidak melepaskan peluang menaiki bas KL Hop-On Hop-Off bersiar-bersiar sekitar negeri ini.

 

Bas ‘double decker’ yang dibawa khas sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini antara yang paling menarik perhatian pengunjung.

 

Perkhidmatan secara percuma kepada pengunjung sejak Jumaat lalu itu memberi peluang kepada warga negeri ini bersiar-siar di sekitar Kangar, Kuala Perlis dan Arau yang mengambil masa lebih sejam.

 

 

Fazilah Mahmud
Fazilah Mahmud

 

 

Seorang pembantu taska, Fazilah Mahmud, 32, berkata, dia bersama suami dan 3 orang anaknya begitu teruja apabila mengetahui bas berkenaan di bawa ke negeri ini.

 

“Saya memang tidak pernah naik bas ini dan apabila berpeluang terasa seperti kami naik bas KL Hop-On Hop-Off di Kuala Lumpur.

 

“Sekali-sekala dapat naik bas dan melihat pemandangan dan tempat-tempat menarik di Perlis sangat menyeronokkan. Kami dibawa bersiar-siar di bandar Kangar, Bintong dan juga Kuala Perlis.

 

“Kalau boleh, mungkin kerajaan negeri dapat memperkenalkan bas ini di Perlis supaya pelancong yang datang dapat naik bas yang sama,” katanya.

 

 

Mohd. Arman Mohd. Nazry
Mohd Arman Mohd Nazry

 

 

Seorang pelajar, Mohd Arman Mohd Nazry, 21, berkata, inisiatif penganjur AKM Perlis membawa bas tersebut sangat dialu-alukan bagi memberi peluang kepada penduduk negeri ini ataupun pengunjung dari luar bersiar-siar melihat keindahan Perlis.

 

“Walaupun saya berasal dari Kuala Lumpur, namun saya tidak pernah menaiki bas ini. Jadi, apabila ada di AKM Perlis ini, saya tidak melepaskan peluang.

 

“Ini satu usaha yang bagus terutama bagi memperkenalkan sektor pelancongan di negeri ini yang mempunyai banyak tempat menarik dan belum diketengahkan,” katanya.

 

 

AKM
Bas KL Hop-On Hop-Off yang disediakan secara percuma untuk menikmati pemandangan sekitar Perlis.

 

 

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Pemasaran KL Hop-On Hop-Off, Wan Ahmad Wan Yahya berkata, perjalanan bas tersebut adalah sebanyak tiga kali sehari iaitu pukul 10 pagi, 3 petang dan 8 malam kecuali hari ini sehingga pukul 3 petang sahaja.

 

Menurutnya, sambutan yang diterima agak memberangsangkan sejak semalam.

 

“Untuk perjalanan pada waktu siang, pengunjung akan dibawa ke bandar Kangar, Bintong dan Kuala Perlis manakala pada waktu malam pula mereka akan dibawa melihat cahaya lampu di Kangar, Bintong dan juga Arau.

 

“Orang Perlis perlu merebut peluang ini kerana mereka boleh naik secara percuma sahaja. Jika di Kuala Lumpur, bayaran yang dikenakan adalah RM30 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak,” katanya. - DagangNews.com