Austral Techsmith, GSM Towers perluas penyelesaian teknologi 5G Malaysia di seluruh dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Austral Techsmith, GSM Towers perluas penyelesaian teknologi 5G Malaysia di seluruh dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Syarikat kejuruteraan Malaysia, Austral Techsmith bergabung tenaga dengan syarikat infrastruktur telekomunikasi Norway, GSM Towers dalam memperluaskan perniagaan di peringkat global dengan memanfaatkan pasaran infrastruktur 5G baharu.

 

Kerjasama itu berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di TowerXchange Meetup Asia 2022, Singapura, baru-baru ini. 

 

Sebagai sebahagian MoU, rakan kerjasama baharu itu akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman masing-masing untuk membina asas perniagaan yang kukuh dan seterusnya menembusi pasaran infrastruktur 5G baharu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Austral Techsmith, Azfar Zubri Datu Safri berkata, pihaknya sangat teruja dapat bekerjasama dengan GSM Towers. 

 

Beliau berkata, 5G dan teknologi berkaitan mempunyai banyak potensi menarik yang boleh membuka pembangunan baharu untuk pelbagai sektor ekonomi dan terbukti menjadi pengubah permainan dalam transformasi industri. 

 

"Ini menjadikan 5G global sebagai pasaran yang mempunyai peluang besar dan masih belum diterokai sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, majlis pemeteraian MoU mewakili syarikat masing-masing adalah Ketua Pegawai Eksekutif GSM Towers, Christian Strømme dan Ketua Pegawai Operasi Austral Techsmith, Soh Chong Meng sambil disaksikan Azfar Zubri.

 

 

austral
(Dari kiri) Azfar Zubri Datu Safri, Christian Strømme dan Soh Chong Meng bergambar ketika pemeteraian MoU antara Austral Techsmith dengan GSM Towers

 

 

Menurut Azfar Zubri, kerjasama dengan GSM Towers adalah langkah penting ke hadapan ketika memulakan rancangan pengembangan secara berganding bahu dengan rakan perniagaan. 

 

"Phil-Tower akan menerajui pemasangan ELAB01 di Filipina, sementara kami berusaha menyiapkan pemasangan untuk lapan tapak perintis kumpulan pertama yang dijangka siap antara Januari dan Februari 2023," katanya.

 

Strømme pula berkata, kepercayaan dan visi bersama mereka adalah untuk meningkatkan infrastruktur 5G dengan menjadikan pelaksanaannya begitu mudah melalui perkongsian sinergi ini.

 

"Rantaian bekalan global kami akan membolehkan pelaksanaan penyelesaian 5G yang lancar ke semua pasaran seluruh dunia," katanya.

 

Chong Meng berkata, ia akan membolehkan pihaknya menawarkan produk dengan kemampuan dan keupayaan memenuhi keperluan industri, di samping membentuk peluang baharu untuk mereka. - DagangNews.com