KUALA LUMPUR 3 April - Pengedar rasmi kereta Audi di negara ini, PHS Automotif Malaysia (PHSAM) memanggil semula 2,767 unit kenderaan model-model seperti A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe tahun 2008 hingga 2017 berkaitan masalah beg udara Takata.
Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter berkata, berdasarkan kepada kemas kini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan.
Katanya, ia akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius.
"Di Audi, keselamatan menjadi keutamaan kami. Ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan kami untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan.
"Kami mengenal pasti bahawa antara sebab utama pelanggan memilih Audi adalah kerana prestasi dan ciri keselamatannya. Jadi, standard tinggi ini akan kami laksanakan dengan penuh bertanggungjawab.
“Walaupun kami sudah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, memang ada kemungkinan bukan semua memerlukan penggantian alat ganti. Justeru, kami ingin menggalakkan pelanggan membawa kenderaan untuk diperiksa di pusat servis, seterusnya memberi ketenangan minda kepada mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemilik kenderaan berusia lima tahun dan ke atas juga layak untuk menyertai program Audi Plus yang dilancarkan baru-baru ini yang menawarkan diskaun penyelenggaraan sebanyak 10% di mana-mana pusat Audi Centre.

Pelanggan juga akan menerima 3 baucar servis yang boleh digunakan dalam tempoh 3 tahun selepas tahun kelima servis, selain perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan Audi secara percuma sehingga 12 bulan dari tarikh penebusan baucar.
Pelanggan yang tidak pasti sama ada kereta Audi mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini dinasihatkan supaya mengunjungi laman web Audi Malaysia.
Mereka juga boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Audi di talian 1-800-22-2834 atau emel ke [email protected]. - DagangNews.com








