Astro catat PATAMI ternormal RM119 juta bagi suku tahun pertama berakhir 2023 | DagangNews Skip to main content

Astro catat PATAMI ternormal RM119 juta bagi suku tahun pertama berakhir 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Astro Malaysia Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal RM119 juta untuk suku tahun pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (1QFY23).

 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu merekodkan penurunan hasil dari suku ke suku sebanyak 7% kepada RM962 juta manakala pertambahan 3% untuk pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM315 juta.

 

Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2023.

 

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, pemulihan sentimen pengguna dan perbelanjaan hasil daripada pembukaan semula aktiviti ekonomi terganggu akibat kenaikan kadar inflasi dan gangguan rantaian global yang berpunca daripada konflik geopolitik yang semakin memuncak serta sekatan COVID-19.

 

Beliau berkata, PATAMI suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023 Astro terkesan akibat tukaran wang asing (forex) yang tidak stabil.

 

"Tidak termasuk kerugian forex terealisasi, PATAMI ternormal untuk suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023 adalah RM119 juta. 

 

"Syarikat kekal menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, kumpulan itu kekal dalam melaksanakan pelan transformasi dan strategi pengagregatan penstriman.

 

Beliau berkata, puerata pendapatan setiap pengguna (ARPU) meningkat kepada RM97.40 dengan migrasi pelanggan ke pakej-pakej baharu dengan lebih nilai yang dilancarkan pada November 2021.

 

“Pada Mac 2022 yang  kami telah melancarkan Astro Fibre, perkhidmatan internet kepunyaan kami agar para pelanggan boleh memilih menggandingkan kandungan dengan jalur lebar ataupun jalur lebar sendiri dan pada Jun 2022 kami menjadi yang pertama di Asia Tenggara merintis pengiklanan bersasar untuk televisyen, Video On Demand dan digital.”

 

“Selain daripada Netflix, kami telah integrasikan aplikasi Disney+ Hotstar pada Ultra Box kami, mengukuhkan lagi Astro sebagai destinasi penstriman utama untuk rakyat Malaysia. 

 

"Pada masa ini, kami mempunyai 6 perkhidmatan penstriman yakni Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, Astro GO, TVBAnywhere+ dan iQIYI, dengan banyak lagi yang akan datang termasuk Zee5, BeIN dan BBC Player.

 

Beliau berkata, lebih 600,000 rumah kini menggunakan Ultra dan Ulti Box yang berfungsi dengan satelit dan jalur lebar. 

 

Katanya, bagi suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023, pangkalan jalur lebar kami tumbuh 50% dari tahun ke tahun dengan ramai pelanggan menggandingkan jalur lebar dengan kandungan untuk kesenangan dan nilai. - DagangNews.com