Artroniq terajui revolusi motosikal elektrik di Malaysia menerusi pelancaran United E-Motor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Artroniq terajui revolusi motosikal elektrik di Malaysia menerusi pelancaran United E-Motor

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt - Artroniq Bhd menceburi bidang industri kenderaan elektrik Malaysia, dengan memperkenalkan United E-Motor ke pasaran Malaysia. 

 

Syarikat itu menjalin kerjasama pengeluar jenama motosikal elektrik itu dari Indonesia, PT Terang Dunia Internusa (PT TDI) sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap inovasi mampan, dan menawarkan peluang pelaburan yang menjanjikan.

 

Ketua Pegawai Kewangan Artroniq, Marcus Chin Choon Wei berkata, hari ini menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Artroniq ke arah memupuk mobiliti elektrik yang mampan dalam pasaran Malaysia. 

 

"Saya yakin kerjasama kami dengan United E-Motor akan membuka kunci nilai yang tiada tandingan untuk pelabur  dan menyumbang untuk masa depan lebih hijau," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, menerusi acara pelancaran dua unit model motosikal itu di ibu negara hari ini, pengunjung merasai sendiri kehebatan model TX3000 dan TX1800. 

 

TX3000 mempunyai kelajuan tertinggi 90 km/j dan jarak 120 km dengan sekali cas, manakala TX1800 mengecas dari 0-80% dalam masa 1.5 jam sahaja. 

 

Kedua-dua model menawarkan kemudahan moden dengan ciri-ciri seperti Bluetooth, aplikasi mudah alih khusus dan banyak lagi.

 

 

 

artroniq
Marcus Chin Choon Wei

 

 

Selain itu, dengan Malaysia menjadi negara sulung yang mengalu-alukan jenama Indonesia ikonik itu, Artroniq dijadualkan membuka pusat pameran motosikal itu di tiga lokasi utama, memperkukuh jejak dan kebolehcapaiannya.

 

Dalam pada itu, motosikal elektrik tercanggih ini merupakan mod pengangkutan yang dipilih untuk pemimpin dunia pada sidang kemuncak G20 2022.

 

Dengan Artroniq menerajui pengenalan ini, pelabur dan pengguna Malaysia boleh menjangka kesan transformatif terhadap landskap pengangkutan negara.

 

Usaha tersebut menerokai dalam pembuatan bateri motosikal elektrik, pengecas dan konsep stesen pertukaran bateri menyerlahkan potensi Artroniq untuk pertumbuhan yang meluas. - DagangNews.com