Aplikasi penstriman baharu Unifi TV, Durioo+ tawar percubaan percuma selama sebulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aplikasi penstriman baharu Unifi TV, Durioo+ tawar percubaan percuma selama sebulan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - Unifi TV menawarkan percubaan percuma selama sebulan bagi aplikasi penstriman terbaharunya, Durioo+, sepanjang bulan Ramadan ini. 

 

TM dalam kenyataan hari ini berkata, ia juga akan menawarkan akses percuma kepada semua saluran premiumnya semasa Hari Raya nanti.

 

Katanya, Durioo+ ialah aplikasi penstriman yang menghasilkan kandungan hiburan kanak-kanak dengan nilai, kebaikan dan akhlak Islamiah. 

 

"Dengan misinya untuk membesarkan kanak-kanak dengan 'eemaan, akhlak dan 'ilm', Durioo+ menawarkan program seperti Mina Mila, Little Ammar, Abibi dan banyak lagi dengan membawa kandungan dan pendidikan yang selamat serta menyeronokkan untuk kanak-kanak berumur 1 hingga 12 tahun. 

 

"Ditawarkan tanpa iklan, percubaan percuma aplikasi penstriman ini boleh ditebus di unifi.com.my/raya sehingga 30 April 2023," katanya.

 

Menurut TM, platform agregator TV tunggal terbesar di Malaysia itu juga akan menyediakan tontonan raya percuma untuk saluran premiumnya dari 21 hingga 27 April 2023. 

 

Dipenuhi dengan program istimewa daripada salurannya seperti Sacred Riana (DEGUP), CoCoMelon (Moonbug Kids), Running Man (ONE) dan banyak lagi, pelbagai pilihan untuk seisi keluarga tersedia sewaktu menyambut Hari Raya, katanya.

 

 

unifi

 

 

Ketua Pegawai Komersial TM dan Naib Presiden Eksekutif Unifi, Anand Vijayan berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan rakan aplikasi penstriman terbaharunya, Durioo+ dan program-programnya amat bermakna terutamanya pada Ramadan. 

 

Katanya, pihaknya ingin berkongsi kegembiraan dengan semua rakyat Malaysia, dengan membuka sepenuhnya rangkaian kandungan hiburan kami semasa Hari Raya. 

 

"Ini adalah salah satu cara kita meraikan kepelbagaian budaya negara bersama-sama, dengan menawarkan sesuatu untuk semua lapisan masayarakat sepanjang tempoh perayaan ini," katanya.

 

Untuk menawarkan lebih nilai kepada pelanggan Unifi TV, mereka kini boleh mengakses Pek Aneka Plus yang akan menawarkan akses percuma kepada aplikasi penstriman VIU dan SIAR dengan hanya RM30 sebulan. 

 

Langganan Pek semasa tempoh promosi ini termasuk Unifi Plus Box dan lebih 50 saluran premium menghimpunkan pelbagai program, daripada aneka rancangan dari Korea, filem Hollywood, berita global, animasi kanak-kanak dan banyak lagi. - DagangNews.com