Annuar Musa dijadual berucap di Asia Tech X Singapore 2022 | DagangNews Skip to main content

Annuar Musa dijadual berucap di Asia Tech X Singapore 2022

Tan Sri Annuar Musa
Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA 31 Mei - Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa akan menghadiri Asia Tech x Singapore (ATxSG) 2022 sebagai anggota panel bersama, yang menghimpunkan menteri komunikasi dari seluruh dunia.

 

Menurut kenyataan dikeluarkan kementeriannya, Annuar dijadual berucap pada sesi bertajuk "Teknologi, Masyarakat dan Peranan Dasar" pada Selasa (31 Mei), mengenai keperluan ketersambungan yang lebih baik dalam ekonomi digital dan pengurusan maklumat salah dalam talian.

 

Angota panel bersama yang lain termasuk Menteri Keusahawanan dan Teknologi Maklumat (Estonia), Andres Sutt; Menteri Komunikasi dan Informatik (Indonesia), Johnny G Plate dan Ketua Eksekutif Forum Kerjasama Peraturan Digital (United Kingdom), Gill Whitehead, menurut kenyataan itu.

 

Di samping itu, Annuar juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan tuan rumah dan rakan sejawatannya dari Singapura, Josephine Teo serta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei, Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof.

 

Menurut laman web ATxSG, dianggap sebagai acara teknologi terbesar dianjurkan di Singapura sejak sempadan negara itu dibuka, acara itu akan berlangsung selama empat hari hingga 3 Jun 2022.

 

ATxSG akan turut melibatkan acara ATxSummit dengan undangan secara eksklusif, diadakan di The Ritz-Carlton, Millenia di mana Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi, Heng Swee Keat menjadi Tetamu Kehormat.

 

Lebih daripada 50 pembentang dan kira-kira 2,000 tetamu daripada sektor kerajaan, perniagaan dan industri akan menghadiri acara itu.

 

Ia dijangka menyaksikan perbincangan mantap mengenai pelbagai topik seperti pengkomputeran kuantum, metaverse dan kemampanan masa depan digital hijau.

 

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin juga akan berucap pada Sidang Kemuncak yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) republik itu, menurut Bernama.

 

ATxSG juga akan menjadi tuan rumah kepada syarikat teknologi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia seperti Perkhidmatan Web Amazon, Epic Games, Google, IBM, Microsoft dan Kumpulan Ping An. - DagangNews.com