Anggaran kos MRT3 pada RM31 bilion adalah `munasabah' - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Anggaran kos MRT3 pada RM31 bilion adalah `munasabah' - Penganalisis

Gamuda Bhd. memiliki peluang yang besar dalam projek MRT3. - Gambar : Facebook Gamuda
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Mac - Langkah kerajaan menghidupkan semula projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dianggarkan menelan kos RM31 bilion dilihat tepat pada masanya dan amat dinanti-nantikan pemain sektor pembinaan di negara ini. 

 

Malah, menurut MIDF Research, penawaran tender yang dijangka dikeluarkan pada suku keempat ini akan menjadikan syarikat pembinaan mempunyai kerja selama 8 tahun akan datang sehingga 2030 dengan tambahan kontrak yang kukuh dan memberi pendapatan. 

 

Firma itu berkata, secara keseluruhannya, kuantum kos pembinaan MRT3 mungkin menyamai MRT2, tetapi ia adalah kira-kira 18.5% lebih tinggi, meskipun memenuhi jangkaannya sebelum ini sekitar RM31.22 bilion.

 

Bagaimanapun, jelasnya, kos tersebut adalah `munasabah' dengan mengambil kira kos operasi dan buruh yang lebih tinggi serta lonjakan harga bahan binaan.

 

"Walaupun berkemungkinan terdapat kelewatan dalam pelaksanaan projek disebabkan pelbagai faktor, namun, kami percaya aliran masuk kontrak yang semakin baik, sama ada di dalam atau luar negara.

 

"Ini dapat memastikan kebanyakan syarikat pembinaan di bawah liputan kami terlibat sehingga mereka mula menuai hasil daripada projek MRT3," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

mrt corp

 

 

Baca : MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030 - Dr Wee Ka Siong

 

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, proses tender bagi projek MRT3 dirancang bermula tahun ini melalui lima pakej utama untuk tempoh 6 hingga 8 tahun.

 

Cadangan jajaran terkini bagi projek itu membabitkan lingkaran sepanjang 51 kilometer (km) meliputi 39km di Kuala Lumpur dan 12km lagi di Selangor.

 

Fasa pertama akan dibuka seawal Disember 2028, tertakluk kepada proses pengambilan tanah. Keseluruhan jajaran dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030.

 

Dengan mengambil kira semua faktor, MIDF Research mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor pembinaan terutama apabila projek MRT3 bermula tidak lama lagi.

 

Keyakinan ini juga diperkukuh dengan komitmen kerajaan untuk menyemak semula dan kemungkinan menghidupkan semula projek yang ditangguhkan sebelum ini, seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

 

"Kami juga mengambil maklum mengenai pengumuman baru-baru ini oleh Kerajaan Negeri Melaka yang mempunyai rancangan jangka panjang untuk membina terowong bawah laut bagi rangkaian sistem rel yang menghubungkan Melaka dan Dumai di Sumatera, Indonesia, walaupun kami ingin menegaskan bahawa ia bukanlah satu idea baharu," jelasnya.

 

 

gamuda

 

 

Menurutnya, Gamuda Bhd. dijangka meraih paling banyak manfaat daripada projek MRT3 terutama menerusi pembentukan usaha samanya, MMC-Gamuda yang memiliki pengalaman luas dalam MRT1 dan MRT2. 

 

Selain itu, IJM Corp. Bhd. juga tidak asing lagi dalam projek mega sebegini kerana memiliki portfolio kukuh dalam melaksanakan projek rel seperti penggalian terowong bawah tanah untuk sebahagian LRT3, dan juga pembinaan stesen dan jejambat MRT.

 

Sementara itu, RHB Research berkata, dengan anggaran kos RM31 bilion seperti dinyatakan MRT Corp., ia adalah 31% lebih rendah berbanding RM45 bilion sebelum ini apabila projek MRT3 pertama kali diumumkan pada 2016.

 

Bagaimanapun, menurutnya, di sebalik perkembangan positif mengenai MRT3, masih wujud kebimbangan berlaku kelewatan dalam pelancaran pakej tender. 

 

Pada masa sama, katanya, projek itu juga akan dibiayai menerusi pembiayaan hidrib yang melibatkan bon termasuk terbitan sukuk, jaminan kerajaan dan pembayaran tertunda.

 

"Tidak dinyatakan mengenai mana-mana inisiatif pembiayaan swasta, tetapi ini tidak boleh diketepikan, memandangkan pembiayaan negara yang terhad. 

 

"Dengan itu, kontraktor berkemungkinan menanggung beberapa risiko pembiayaan projek MRT3, sekiranya inisiatif pembiayaan swasta dilaksanakan," jelas beliau. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dengan melihat Gamuda Bhd. memiliki peluang yang besar dalam projek MRT3. 

 

Malah, Sunway Construction Group Bhd., IJM Corp., dan Malaysian Resources Corp. Bhd. juga antara syarikat pembinaan yang dijangka terlibat dalam projek mega tersebut. - DagangNews.com